Adik Lelaki Dakwa Shila Amzah Tendang Pintu Rumah & Gelar Ibu Tak Ada Otak?

Konflik yang berlaku antara pasangan adik-beradik penyanyi popular, Shila Amzah nampaknya semakin hangat diperkatakan selepas mereka dilihat lebih selesa berkongsi cerita menggunakan platform media sosial.

Terbaru, menerusi perkongsian video yang tular di TikTok, adik lelaki sulung kepada penyanyi itu, Amir Syafiq tampil mendedahkan, bahawa mereka hanya dimaklumkan mengenai individu yang bertugas untuk menilai banglo milik keluarga mereka pada saat akhir.

Bagaimanapun, Syafiq berkata, ibu mereka iaitu Fauziah Sarman meminta diberikan masa untuk membersihkan rumah terbabit memandangkan rumah tersebut berada dalam keadaan yang kotor dan bersepah.

“Shila telefon mak bagitahu ada orang nak datang buat penilaian rumah. Orang itu pula sudah sampai depan rumah baru dia nak bagitahu.

“Mak minta untuk tangguhkan sekejap dalam satu atau dua jam sebab nak kemas rumah terlebih dahulu sebab malulah orang datang tapi ruamh kotor. Rumah takde lah bersepah tapi kotor sikit disebabkan kami ada 40 ekor kucing,” katanya.

Bagaimanapun, Syafiq memaklumkan permintaan ibu mereka tidak diendahkan sebaliknya pelantun lagu Patah Seribu itu didakwa menghina dan menengking ibu mereka termasuklah bertindak menendang pintu rumah.

“Dia cakap orang tu (penilai rumah) ada kerja, bukan macam mak. Dia hina mak saya? Ni mak saya yang cerita, sampai menangis.

“Shila cakap ‘kepala otak mak la’ lepastu dia tolak mak. Bila dia tolak mak dan mak hampir terjatuh mak nak lempang dia tapi terkena cermin mata dia dan dia maki lagi,”jelasnya.

Mengulas lanjut, Syafiq berkongsi bahawa perselisihan faham yang berlaku antara keluarga mereka akan didedahkan sendiri oleh ibu mereka tidak lama lagi.

Terdahulu, Shila tampil menerusi sesi siaran langsung di Instagram miliknya pada Rabu dalam keadaan sebak sekaligus  menafikan dakwaan bahawa dia menghalau ibu dan adik-beradiknya dari kediaman keluarga mereka yang terletak di Batu 9, Hulu Langat, Selangor.

 

Salma Syahbuddin