Penyanyi Adira Suhaimi selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.5 kilogram menerusi kaedah pembedahan, semalam.

Memetik laporan Harian Metro, Adira meluahkan rasa bersyukur atas kelahiran anak yang keempat dan keadaan bayi yang sihat.

“Alhamdulillah.. pembedahan berjalan dengan lancar. Saya masih berada dalam keadaan mamai kesan bius pembedahan yang dijalani tengahari tadi.

“Saya dan bayi berada dalam keadaan baik. Mujur ibu juga turun ke Kuala Lumpur bagi membantu menguruskan kami.

“Terima kasih di atas doa semua. Kini fokus untuk berpantang saja,” katanya.

Terdahulu, Adira pernah menyatakan hasrat untuk ‘tutup kilang’ selepas kelahiran cahaya mata keempat ini.

Untuk rekod, Adira mendirikan rumahtangga bersama ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Anggrek, 5, Asan, 4, dan Anggun, 3.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir