Aiman Tino Sah Bergelar Suami, Cinta Berputik Selepas 4 Tahun Berkawan

Penyanyi Aiman Tino sah bergelar suami kepada Che Syarah Haifa Che Isa, 24, dengan sekali kali lafaz dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Dewan Astana, Bamboo Hills, Kuala Lumpur tepat jam 5.41 petang, hari ini.

Memetik laporan Media Hiburan, pasangan tersebut dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai, Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), Mohd Azri Ahmad Kamil.

Dalam majlis itu, Aiman Tino atau nama sebenar Muhammad Aiman Yusri, 25, menyerahkan mas kahwin RM5,000 beserta seutas gelang emas.

Namun, tiada sebarang pertukaran dulang hantaran dan wang hantaran kerana dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Sementara itu, majlis diserikan dengan persembahan kakak Aiman iaitu penyanyi Fara Hazel.

Terdahulu, pasangan ini turut melangsungkan pertunangan sebelum diijabkabulkan.

Aiman dan Syarah sudah berkawan hampir empat tahun dan mengusahakan perniagaan jualan biskut bersama.

Mereka mula rapat sejak lima bulan lalu dan membuat keputusan untuk membawa hubungan istimewa mereka ke fasa lebih serius.

Untuk rekod, Aiman merisik Syarah pada Januari lalu.

Pasangan mempelai ini akan diraikan dalam majlis resepsi di Shah Alam pada 6 Mei ini.

Kredit foto: Aiman Tino Fantastic

Maya Basir