Akui Tak Cukup Masa Jaga Si Kecil, Neelofa Terpaksa Upah Jururawat Waktu Malam

Selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa memberitahu sudah merancang untuk kembali aktif dalam bidang seni selepas melahirkan cahaya mata kedua iaitu Abdullah Abbas pada 11 Julai lalu.

Memetik laporan Gempak, meskipun sudah mula bekerja sejak September lalu, Neelofa akui bukan mudah baginya untuk menguruskan dua orang cahaya mata.

“Bermula minggu pertama September saya sudah agresif bekerja tapi sekarang musim anak-anak sakit, jadi kena duduk rumah pula jaga anak,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa mengambil upah jururawat pada waktu malam untuk bantu menjaga si kecil supaya kehidupannya lebih teratur.

“Saya akui menjaga dua anak lebih mencabar, saya rasa tak cukup 24 jam, saya perlukan lebih jam.

“Cuma sekarang Alhamdulillah saya ada jururawat malam yang datang untuk bantu si kecil supaya saya dapat tidur yang cukup.

“Bulan pertama saya jaga anak sendiri walaupun ada maid. Tapi selepas sebulan saya rasa tak boleh, jadi saya minta pada suami untuk ada jururawat malam,” ujarnya.

Untuk rekod, Neelofa dan suaminya, Haris Ismail atau PU Riz mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Bilal, 1, dan Abdullah Abbas yang kini berusia 4 bulan.

Maya Basir