“Apa Makna Ikhlas Tu?” – Pernah Seperti Adik & Kakak Dengan Bekas Isteri Chot, Zurina Badron Terkesan Dilabel ‘Penyondol’

Isteri kepada pelawak Chot iaitu Zurina Badron mengakui terkesan dengan tindakan bekas isteri suaminya, Siti Zafirul Azzah yang menularkan kisah lama rumah tangga mereka.

Malah, dia dilabel sebagai individu yang menjadi penyebab kepada perceraian mereka.

Memetik laporan Harian Metro, Zurina yang merupakan kakak kepada penyanyi Syura Badron memberitahu impak isu tersebut bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada keluarganya.

“Selepas apa yang berlaku, perkara ini memberikan impak dan membabitkan banyak pihak.

“Bukan saja saya, bahkan keluarga, termasuklah adik saya, Syura turut terkena tempias kecaman walaupun dia tak ada memuat naik sebarang hantaran,” katanya.

Menurutnya, Syura banyak memberikan nasihat dan kata-kata positif memandangkan dia sudah lama berada dalam industri seni tanah air.

“Dia dah lama berada di dalam industri seni tanah air dan sudah tahu bagaimana untuk berhadapan dengan situasi sebegini.

“Katanya, sekali dianggap ‘penyondol’, orang akan anggap sebagai penjahat. Dia berikan kata-kata positif kepada saya dan menasihatkan saya supaya diam sahaja,” ujarnya.

Mengulas tentang dakwaan bahawa dirinya menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Chot dan Zafirul atau lebih mesra disapa Jaja, dia menjelaskan hubungannya dan bekas isteri Chot umpama adik dengan kakak memandangkan Jaja sudah mengikhlaskannya.

“Bagi saya, memang ada salah di pihak saya juga dan saya tak cakap yang saya betul. Cumanya, sampai sekarang, saya masih keliru kerana Jaja pernah berbincang dengan saya dan meluahkan bahawa dia ikhlas dengan semua yang berlaku.

“Apa makna ikhlas itu sekiranya dia mengambil tindakan untuk menularkan perkara ini dengan cara begitu? Mana hubungan baik kita seperti sebelum ini?

“Pada ketika itu (selepas Jaja bercerai dengan Chot), hubungan saya dan dia macam kakak dan adik. Dia pernah ikhlaskan dan beritahu mengenai ketenangan selepas bercerai.

“Atau, adakah tindakannya itu ada hubungan dengan hasutan orang lain? Atau mungkin ada kepentingan lain?,” katanya lagi.

Terkini, Zurina menggunakan khidmat peguam bagi mencari jalan penyelesaian dan perdamaian.

“Saya pun nak dengar jawapan daripada pihak dia atas apa yang berlaku. Saya nak sangat bersemuka dengannya.

“Bukan untuk keruhkan keadaan, tetapi saya inginkan penjelasan. Saya pun dah berkahwin, jadi tentulah saya mahukan kehidupan yang tenang.

“Saya harap, dia sedar mengenai notis yang dihantar peguam dan bersetuju untuk berjumpa,” jelasnya.

Untuk rekod, Chot dan Jaja bercerai pada Mac tahun lalu selepas Jaja memfailkan penceraian. Kemudian, Chot dan Zurina mengikat tali pertunangan pada Ogos lalu dan berkahwin pada 23 Januari lalu.

Foto kredit: Harian Metro

Maya Basir