Apa Pun Tak Boleh, Bunkface?

9 Mei ini bakal melakar peristiwa indah bagi kumpulan Bunkface. Selain tarikh rakyat Malaysia keluar mengundi, kumpulan ini akan melancarkan single terbaru Apa Pun Tak Boleh! 

Kata Farouk Jaafar atau Youk, lagu yang sepatutnya dilancarkan awal ini terpaksa ditunda ke tarikh itu atas beberapa masalah yang timbul sebelum ini.

“Kami juga mahu mencipta sejarah peribadi dengan melancarkan lagu berkenaan secara penuh simbolik,” katanya.

Menurut pemain bes terbabit, Apa Pun Tak Boleh juga dianggap cukup istimewa kerana ia buat julung kali menyaksikan kerjasama Bunkface dengan penyanyi era 60-an, Datuk Jeffrydin, dan artis rap, Caprice.

“Kami merakamkan lagu itu akhir tahun lalu dan ia dilakukan secara berasingan, mengikut kesesuaian jadual artis terbabit,” katanya kepada BH Online.

Katanya lagi, kerjasama berkenaan direalisasikan dengan matlamat menggabungkan dua era dan genre berbeza atas paksi muzik.

“Lagu ini menggambarkan situasi muzik semasa negara, mengikut perspektif kami. Muzik seharusnya sejajar dengan peredaran zaman dan mampu menyampaikan maksud yang terus kepada pendengar,” katanya yang cuba mencipta kelainan menerusi single itu.

Lagu yang dihasilkan sepenuhnya di studio milik Bunkface, BF Rockstation, itu akan turut dimuatkan dalam album terbaru kumpulan terbabit, Pop. Ia dijangka dilancarkan sekitar Ogos depan.

Kumpulan yang turut dianggotai oleh Sam selaku vokalis dan Paan (gitar utama) itu juga sibuk dengan penganjuran persembahan Bunkshow! Pertunjukan pertamanya diadakan pada 1 April lalu, di Kelana Jaya.

Selain itu, pada tarikh 9 Mei juga, penyanyi terkenal Bruno Mars bakal mengadakan konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil.

SGMS Faida