#ASK2018 : Jika Menang Malam Ini, Ia Bonus Buat Saya

Pelakon Siti Elizad antara nama yang disebut-sebut bakal membawa pulang trofi pelakon wanita terbaik.

Memegang watak sebagai pesakit kanser dalam drama Tulus Cinta, pelakon jelita ini memaklumkan dia tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menang besar malam ini.

“ Jika kemenangan berpihak kepada saya, Alhamdulillah saya anggap itu adalah bonus dalam karier.

“ Jujur saya katakan, saya tidak terlalu memikirkan untuk menang anugerah. Saya hanya beri yang terbaik untuk karier lakonan,” katanya ketika ditemui di sidang media Anugerah Skrin 2018 di Bukit Kiara. 

Tambah Elizad, berada di dalam pencalonan juga sudah membuatkan dirinya gembira.

“ Drama Tulus Cinta merupakan sebuah kisah benar dan saya gembira ia tercalon pada malam ini,” katanya.

Tulus Cinta mengisahkan Maira mula menyendiri apabila mengetahui yang dia disahkan leukimia. Pertemuannya dengan Azim yang membantunya ketika rebah mengeratkan lagi hubungan mereka. Namun begitu, Azim sebenarnya sudah memiliki teman wanita bernama Hana.

Jangan lupa menonton Anugerah Skrin 2018 yang bakal bersiaran langsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) jam 9 malam ini di TV3, ntv7, TV9 dan 8TV.

SGMS Faida