‘Awat Kulit Gelap Sangat?’, Ini Jawapan PADU Nourul Untuk Si Polan!

Penyanyi Nourul Wahab Depp menegur segelintir pengikutnya yang masih mendiskriminasi warna kulit individu lain. 

Menerusi laman Instagramnya, penyanyi terkenal dengan lagu Cinta Azali meluahkan kekecewaanya.

“ Selamat pagi dari Taiwan. Hari ini saya bangun dan menerima soalan, awat (kenapa) kulit gelap sangat? Awat (kenapa) susah sangat ka orang kulit gelap? Kacau depa (anda) ke? Tak boleh makan ke? Tak boleh hidup ka? Tak boleh cari makan ka?

“ Dengar sini, pemikiran toksah (jangan) lah sempit sangat. Saya sudah berusia 41 tahun dan saya okay dengan warna kulit saya. Saya dilahirkan dengan kulit begini dan saya okay. Saya terima diri seadanya dan orang sekeliling saya,” luahnya.

Nourul juga berpesan agar individu berkenaan mengubah cara pemikiran tidak mengulangi kenyataan sebegitu di masa akan datang.

“ Saya tak kisah apa yang anda fikir tentang saya tetapi anda harus lihat diri sendiri, hati itu hitam atau putih ke? Toksah (jangan) dok kata orang begitu.  

“ Kulit putih tak berguna jika kita ada pemikiran dan hati yang tidak baik. Bayangkan jika anda berkata begitu kepada kanak-kanak.

“ Anda bakal ‘memusnahkan’ fikiran mereka. Terimalah diri anda seadanya, terima pemberian Tuhan seadanya dan percayalah anda akan berasa lebih gembira. Ini hanya pesanan,” akhirinya.

SGMS Faida