Azrel Ismail Pernah Dicurangi, Kini Pilih Untuk Curang?

Gara-gara sibuk dengan kerjaya lakonan, pelakon Azrel Ismail mendedahkan dirinya pernah dicurangi oleh bekas kekasih.

Menurut Azrel, jadual kerja untuk memegang watak sebagai peneraju utama sebuah drama ketika itu sangat padat sehingga tiada masa untuk bersama dengan bekas kekasih.

“Jadual saya sangat padat ketika itu. Menjadi hero untuk sebuah drama, kadang-kadang masuk kerja pagi, malam baru balik. Rupanya, secara perlahan-lahan, saya telah dicurangi oleh seseorang.

“Sebab dia curang adalah kerana saya kurang memberikan perhatian. Awalnya, saya sudah beritahu kerjaya saya sebagai pelakon memang sentiasa sibuk, jadual tidak menentu tapi dia sudah mungkir janji,” katanya yang membintangi teater Maduku Terpaling Kalut.

Dalam teater terbabit, Azrel memegang watak lelaki yang mencurangi isteri pertama dengan menikahi isteri kedua yang dilakonkan oleh Puteri Sarah dan Anna Jobling.

“Isteri pertama dengan isteri kedua tidak tahu mereka ini dimadukan dan si suami memang pandai cover line,” jelasnya semasa ditemui di sesi latihan teater terbabit.

Pelbagai kisah rumah tangga yang terjadi yang pastinya membuatkan semua benda jadi kalut.

Selain Azrel, teater Maduku Terpaling Kalut akan menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Puteri Sarah, Anna Jobling, Syafiq Naser, Aya Amiruddin dan Curly Jow yang boleh disaksikan pada 29 & 30 September dan 1 & 2 Oktober di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).

Maya Basir