Azza Syukur Jualan Sejadah Terima Sambutan – “Saya Jual Bukan Untuk Untung”

Pelakon dan penyanyi Azza Zawari meluahkan rasa bersyukur selepas perniagaan sejadah yang diusahakan menerima sambutan yang baik sejak dua tahun lalu.

Menurut Azza, perniagaan tersebut telah menyelamatkannya daripada masalah kewangan ketika penularan Covid-19 sewaktu dirinya giat mengusahakan perniagaan pakaian.

“Perniagaan ini saya usahakan sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu.

“Sebelum itu, saya pernah berniaga jual pakaian, tetapi pintu sempadan negara ditutup menyebabkan keadaan kewangan saya semakin merosot.

“Rakan niaga saya cadangkan untuk saya jual sejadah. Mengenangkan persaingan, saya tidak berapa yakin ketika itu,” katanya.

Namun, penyanyi kumpulan Elite itu menyatakan dia tidak menyangka perniagaan sejadah itu menghasilkan jualan yang baik, khususnya dalam kalangan rakan artis.

“Saya buat dengan niat untuk sekadar ada punca pendapatan. Apabila kerajaan membenarkan penggiat seni memulakan kembali aktiviti penggambaran, saya bawa sejadah ke lokasi.

“Tidak sangka banyak permintaan yang diterima. Ramai rakan artis yang beli untuk infak,” katanya.

Memetik laporan Utusan Malaysia, perniagaan Azza juga turut menerima sambutan di Singapura dan diedarkan tanpa sebarang kos tambahan.

“Jualan sejadah tidak pernah mengecewakan. Pernah saya jual di Singapura, sejadah yang dibawa habis terjual.

“Ada yang beli untuk kegunaan sendiri, tetapi ada juga yang infak. Apabila mereka beli, kami akan edarkan tanpa sebarang kos tambahan,” katanya lagi.

Azza turut mendedahkan bahawa perniagaan yang dilakukan ini bukanlah untuk mengaut keuntungan atau kekayaan, sebaliknya ingin melakukan sesuatu yang mendekatkan diri kepada Maha Pencipta

“Saya jual sejadah bukan untuk untung. Saya suka melakukannya. Pada usia 40-an, saya hanya mahu melakukan kerja yang saya suka.

“Usia semakin meningkat dan saya tidak mahu mensia-siakannya dengan perkara tidak berfaedah. Saya mahu melakukan sesuatu yang mendekatkan saya dengan Allah SWT. Inilah jalan yang saya pilih,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia

Fatin Nurain