Bakal Kahwin Tahun Depan, Syafiq Kyle Akui Sudah Bersedia – “Saya Mahu Nikah Terus Sebab…”

Baru-baru ini, pelakon Syafiq Kyle memaklumkan bahawa dirinya sendiri masih belum membuat sebarang persiapan untuk majlis perkahwinan seperti dakwaan segelintir pihak.

Sekaligus, dia turut menafikan mengenai perkhabaran yang menyatakan dia bakal menamatkan zaman bujangnya dengan pelakon Mimi Lana hujung tahun ini.

“Macam mana nak nikah hujung tahun jika tiada persiapan? Saya belum ‘booking’ tok kadi untuk majlis akad nikah,” ujarnya berseloroh.

Namun begitu, memetik laporan BH Online, Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak berkongsi bahawa dia membuat perancangan untuk mendirikan rumah tangga bersama Mimi pada tahun depan.

Tambah, pelakon drama Cinta Buat Dara itu mengakui yang dia telah bersedia untuk mendirikan rumah tangga tapi dia memilih untuk bernikah terus dan berkemungkinan tiada ikatan pertunangan.

“Jika ikutkan, saya sudah bersedia berumahtangga pada usia mencecah 30, tahun ini.

“Mungkin tiada majlis pertunangan kerana saya mahu terus bernikah dan buat perkara wajib seperti dituntut agama,” katanya kepada BH Online.

Ditanya mengenai tarikh majlis pernikahan, Syafiq menjelaskan bahawa dia dan keluarga belum memutuskan sebarang tarikh kerana perlu menyelesaikan komitmen kerjaya dahulu.

“Kami belum tetap tarikh disebabkan perlu menyelesaikan komitmen kerjaya seni terlebih dahulu.

“Insya-Allah, saya tidak akan berahsia apabila sudah dapat tarikh tetap nanti,” jawabnya ringkas.

Sekadar info, pasangan kekasih Syafiq Kyle dan Mimi Lana telah menjalinkan hubungan cinta sejak tujuh tahun lalu.

Sumber: BH Online

Atiqah Johari