Penyanyi Muna Shahirah, 29 memaklumkan dia akan menamatkan zaman bujangnya dengan pilihan hatinya iaitu Sean Tee Yeu Terng Abdullah, 25 pada malam ini.

Memetik laporan Harian Metro, Muna menyatakan majlis akan diadakan secara tertutup selepas solat Isyak di sebuah dewan di Mersing, Johor.

“Majlis malam ini akan berlangsung selepas solat isyak di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Mersing, Johor secara ringkas untuk keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

“Bakal suami saya berbangsa Cina, jadi kami nak permudahkan dan selesaikan yang wajib terlebih dulu dan tak ada majlis bertunang,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro.

Pelantun lagu Teguh Setia ini turut berkongsi akan menggayakan persalinan rekaan Mirol Jonit.

Bukan itu sahaja, Muna menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 dan hantaran sebanyak RM60,000.

“Pihak saya akan menyerahkan tujuh dulang hantaran dan dibalas lima dulang daripada pihak lelaki,” kongsinya.

Muna sempat berkongsi detik pertemuan dengan bakal suaminya, Sean di mana mereka saling mengenali menerusi sebuah permainan video PUBG.

“Kami dah kenal sejak tiga tahun lalu menerusi PUBG. Dia pun adalah pemain profesional PUBG dan kebetulan, saya pun aktif dalam permainan itu.

“Alhamdulillah, jodoh kami bertemu dan memiliki minat yang sama,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari