Bakal Nikah Sabtu Ini, Bapa Aman Nassim Kini Sakit Tenat

Baru semalam XTRA melaporkan pelakon dan penyanyi Aman Nassim bakal bergelar suami pada 6 April ini, tiba-tiba dia diduga dengan berita bapanya, Nasim Haron tenat di Hospital Sultan Ismail, hari ini.

Aman mendedahkan bapanya dimasukkan ke wad pada Sabtu lalu untuk menjalani rawatan susulan penyakit kanser yang dihidapinya.

“Tapi kelmarin (Ahad), ibu tiri menelefon dan beritahu abah mahu saya pulang ke Johor Bahru dengan segera.

“Saya jadi tak sedap hati dan terus pulang ke Johor petang Ahad lalu,” kata Aman.

Sebaik saja tiba di hospital, bapanya sempat bertanya mengenai persiapan perkahwinan kepada Aman.

“Saya beritahu semuanya sudah selesai dan tunggu hari itu saja, kemudian abah hanya menjawab bagus dan ‘good’, sebelum tubuhnya kembali lemah kira-kira setengah jam kemudian,” kata Aman sebak.

Susulan itu, doktor terpaksa memberi alat bantuan pernafasan dan mereka turut mendedahkan bapanya hanya mempunyai 5 peratus untuk ‘survive’.

Kata Aman, jika keadaan memaksa dia mungkin sekadar meneruskan majlis akad nikah saja pada sebelah pagi Sabtu, manakala majlis resepsi akan ditunda ke tarikh lain.

“Ahli keluarga lain menasihati agar tetap meneruskan perkahwinan walau apa pun yang berlaku,” kata Aman ringkas.

Aman akui pada masa ini dia buntu dan mohon semua peminat dan masyarakat untuk mendoakan kesihatan bapanya.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida