Bekas Isteri Dedah Bercerai Angkara Orang Ketiga, Chot Raja Lawak Baru Kahwini Janda Anak 3?

Sebelum ini, Chot Raja Lawak memaklumkan bahawa telah bercerai dengan isterinya hampir setahun dan kemudiannya mengikat tali pertunangan dengan seorang wanita yang merupakan kakak kepada penyanyi wanita.

Terbaru, bekas isterinya, Siti Zafirul Azzah mendedahkan bahawa perkahwinan mereka berakhir gara-gara orang ketiga.

Menerusi hantaran di akaun TikTok Siti Zafirul, dia mengimbas kembali momen sejak awal perkenalan dengan bekas suaminya itu hingga berlakunya perceraian.

“15/3/ 2022 saya berpisah disebabkan orang ketiga. Bahagia hanya sekejap. Allah hadirkan ujian yang sangat-sangat perit bagi saya, hadirnya orang ketiga atas kebahagiaan saya,” tulisnya.

Bukan itu sahaja, Siti Zafirul turut berkongsi foto perkahwinan bekas suaminya itu bersama wanita yang dikatakan berstatus janda beranak tiga.

Katanya, dia reda dengan apa yang berlaku namun tidak dapat memaafkan mereka yang menganiaya dirinya dan anak.

“Saya redha di atas apa yang berlaku tetapi apa yang berlaku saya tidak dapat memaafkan mereka yang aniaya saya dan juga anak saya.

“Allah SWT Maha mengetahui segalanya apa yang berlaku, pasti kifarah itu ada.

“Akhirnya terjawab juga persoalan semua orang. Perkahwinan di atas penderitaan orang lain,” luahnya lagi.

Menjengah diruangan komen, rata-rata warganet memberi kata-kata semangat buat Siti Zafirul dan tidak kurang juga ada segelintir yang mempertikaikan tindakan Chot menceraikannya.

Chot atau nama sebenarnya Hazmeer Hassan telah mendirikan rumah tangga dengan Zurina Badron yang merupakan kakak kepada penyanyi Syura Badron beberapa hari lepas.

Namun begitu, tarikh sebenar perkahwinan mereka tidak dapat dipastikan namun sebuah saluran di Youtube telah memuat naik rakaman video majlis perkahwinan pasangan itu yang dirakam oleh adik pengantin perempuan, Syura pada 23 Januari lalu.

Atiqah Johari