Categories: HiburanTrending

Belum Bertemu Jodoh Pada Usia 35, Aishah Ilias Tak Kisah Digelar Andartu

Pelakon Aishah Ilias tak mengambil endah jika diberikan gelaran anak dara tua atau andartu kerana masih belum berkahwin pada usia 35 tahun.

Enggan memberikan fokus terhadap cakap-cakap orang, Aishah menganggap perkara terbabit sudah lama tertulis sebagai takdir.

“Saya serahkan soal jodoh pada ketentuan Tuhan. Jodoh, pertemuan, kahwin, cerai, ajal, maut, semua urusan Tuhan dan sudah tertulis dalam ketentuan takdir.

“Siapa kita mahu menentukannya? Memang saya ada juga berkawan dengan lelaki, tetapi tiada teman istimewa yang sesuai dijadikan calon suami.

“Pada usia sekarang, saya mencari calon suami baik, bertanggungjawab dan boleh memberi komitmen terbaik apabila berumah tangga,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan kerjayanya dalam bidang lakonan, aktres tinggi lampai ini tak sabar menanti lakonannya dalam filem genre seram Musyrik – Api Neraka Menantimu! terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd arahan sutradara Arjin Uppal.

Aishah bergandingan dengan barisan pelakon hebat seperti Ashraf Muslim, Aeril Zafrel dan Ruhainies selaku teraju utama.

Pernah membintangi filem Paku dan Pilot Cafe, Aishah tak menolak tawaran berlakon dalam projek filem kerana mahu kembali mengembangkan bakatnya ke layar perak.

“Siapa tidak mahu berganding dengan pelakon berpengalaman seperti Ashraf dan Aeril. Dalam naskhah ini, saya melakonkan watak Wati, isteri kepada Aeril.

“Antara pengalaman sukar dilupakan apabila badan menggelembung gatal di seluruh badan ketika menjayakan satu babak.
“Saya terpaksa dihantar ke klinik untuk mengambil suntikan bagi merawat gatal-gatal ini hingga penggambaran terpaksa dihentikan buat sementara waktu,” katanya.

Selain Ashraf, Aeril, Ruhainies dan Aishah, filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! turut menampilkan barisan pelakon seperti Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.

Filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! mula menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 7 Julai depan.

Trailer rasmi filem disiarkan menerusi saluran YouTube/WhiteMerpatiMovies sejak 15 Jun lalu.

Padin