Belum Sempat Bulan Madu, Pekin Ibrahim Rancang Bawa Isteri Ke Santorini

Mendirikan rumah tangga pada awal Disember lalu, pelakon Pekin Ibrahim mengaku kini melalui fasa bahagia bersama isteri tercinta, Mona Allen.

Pekin ketika ditemui di malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke 30 (FFM30) malam tadi memberitahu dia dan isteri masih belum berkesempatan untuk berbulan madu.

“ Disebabkan masing-masing sibuk dengan kerjaya seni, saya dan Mona masih belum ke mana-mana untuk bulan madu.

“ Kalau ikut perancangan, Mona mahu ke Santorini. Insha Allah kalau ada rezeki masa terdekat, saya akan usahakan,” katanya.

Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim sebelum ini jarang berkongsi kisah peribadinya bersama pelakon wanita yang kini menjadi suri hatinya.

“ Dua tahun bercinta, melihat kematangan Mona yang sangat memahami kerjaya saya membuatkan saya mengambil keputusan mengahwininya.

“ Kami sudah kenal lama sejak zaman shooting iklan lagi cuma dua tahun kebelakangan ini baru serius. Saya yang mengambil langkah pertama mengajaknya keluar,” katanya.

Pekin juga menyifatkan Mona sebagai wanita yang sangat matang dan berdikari.

“ Dua tahun bercinta dia sangat faham diri saya yang bukan jenis suka berkepit 24 jam. Kerjaya adalah keutamaan saya, dia sangat memahami dan tidak pernah melenting,” akhirinya.

Hubungan cinta Pekin dan Mona sebelum ini jarang diperkatakan di media massa. Gambar perkahwinan mereka yang tersebar di media sosial mengejutkan warganet dalam masa sama sebilangan besar gembira dengan berita perkahwinan pasangan ini.

Wartawan: SGMS Fas/ Nabil

SGMS Faida