Categories: HiburanSelebriti

Beri Penjelasan Soal DM Berbaur ‘Anti-Jews’, Kaka Azraff Akui Terkilan Kontrak Ditamatkan Secara Tiba-Tiba

Penyanyi Kaka Azraff meminta pihak pengurusan Warner Music Malaysia untuk menyatakan sebab rasmi dan penjelasan berhubung penamatan kontraknya yang bernaung di bawah syarikat itu.

Menurut Kaka atau nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff menjelaskan sebab dirinya menghantar mesej peribadi kepada pelakon Australia pro-Israel iaitu Nathaniel Buzzolic.

“Apa yang saya hantar itu adalah direct message (DM) bermaksud ia adalah peribadi dan bukan ditularkan oleh saya. Ia mungkin ditular oleh penerima DM tersebut sendiri.

“Saya menghantar DM tersebut selepas saya menonton video propaganda Israel yang dikongsikan dalam Instastory seorang pelakon Australia, Nathaniel Buzzolic yang menggambarkan kononnya Israel tidak bersalah dan orang-orang di Gaza yang sengaja memilih kematian.

“Video itu memaparkan keadaan di Israel dengan komen ‘we choose life’ dan memaparkan keadaan di Gaza dengan komen ‘but they choose death’,” jelasnya.

Kaka ditemui semasa sidang media mengenai penamatan perjanjian rakaman dengan Warner Music Malaysia di Flint Cafe & Roastery di The Curve, Mutiara Damansara.

Tidak setuju dengan video yang dipaparkan, penyanyi berusia 34 tahun itu bertindak membalas adalah dibuat atas naluri kemanusiaan.

“Saya akui mungkin pilihan kata-kata saya itu agak keras tetapi itu menggambarkan kemarahan saya pada waktu itu. But I’ve said what I’ve said, saya tak ingin memandang ke belakang.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya bukan anti-semite dan saya tidak bersifat perkauman,” ujarnya.

Mengulas lanjut tentang penamatan kontrak tersebut, pelantun lagu Gila ini akui terkilan ditamatkan secara tiba-tiba tanpa sebab yang jelas.

“Saya tidaklah terkilan apabila kontrak saya ditamatkan kerana saya percaya rezeki Allah itu luas tapi saya terkilan kerana ia ditamatkan sedemikian rupa secara tiba-tiba tanpa menyatakan sebab dengan jelas atau ruang perbincangan walaupun notis diberikan adalah selama 30 hari.

“Apa yang penting saya akan serahkan isu penamatan kontrak saya itu kepada peguam saya.

“Saya sahkan, memang notis penamatan telah dikeluarkan oleh Warner Music Malaysia. Kalau sudah ditamatkan, maka saya terima dan akur tetapi terma-terma penamatan itu akan diperhalusi oleh peguam saya dan saya juga terbuka kepada sebarang perbincangan sekiranya perlu,” jelas Kaka.

Maya Basir