Bertarung Dengan Kanser Ovari, Ibu Ubai MZ Meninggal Dunia

Pempengaruh, Ubai Mz memaklumkan ibu tercintanya, Rohani Jamal telah meninggal dunia pada jam 6:45 petang tadi.

Tunang kepada penyanyi, Shila Amzah itu berkongsi berita duka berikut menerusi hantaran di Instagram Story miliknya sebentar tadi.

“Salam semua, mak saya baru sahaja menghembuskan nafas terakhir jam 6.45petang tadi,” tulisnya.


Menerusi hantaran di Instagram, Ubai reda atas ujian berat yang dilaluinya dan akan sentiasa mengingati pesanan arwah ibunya.

“Hilangnya doa seorang ibu. Berat dugaan ni untuk Ubai, tapi Ubai redha. Berehatlah mak. Mak seorang ibu yang baik, semua orang senang dengan mak. Ubai ingat semua pesan mak, Ubai tak pernah lupa.

“Terima kasi mak, sebab jadi tempat untuk Ubai mengadu, untuk Ubai minta nasihat. Ubai janji akan jaga adik beradik semua.

“Terima Kasih Emak , Ubai sayang Mak sangat-sangat,” katanya.


Pada Isnin lalu ibu Ubai ditidurkan ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Menurut Ubai atau nama lengkapnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zukefli, ibunya menghidap kanser ovari tahap tiga dan mengalami pendarahan pada bahagian rahim sejak 8 Julai lalu.

Terdahulu, ibunya sudah menjalani pembedahan membuang ovari selepas disahkan menghidap kanser ovari pada Januari lalu.   

Sebelum ini, ibu Ubai sempat menitipkan pesanan kepada anaknya untuk meneruskan perkahwinan bersama Shila pada Ogos depan akan diteruskan walau apa pun terjadi.

Artikel Berkaitan: Sebak! Ini Pesanan Ibu Ubai Sebelum Ditidurkan – “Tolong Jaga Diri, Adik & Teruskan…”

Aqilah Paharuzi