Beza 5 Tahun Dengan Anak Sulung, Radhi OAG Rancang Kahwin Lepas Kekasih Habis Belajar – “Saya Pilih Gadis Muda Sebab…”

Vokalis kumpulan OAG, Radhi merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya yang berusia 22 tahun selepas gadis itu menamatkan pengajian di sebuah institusi Pengajian Awam Tinggi (IPTA).

Memetik laporan Harian Metro, Radhi atau nama sebenar, Muhammad Radhi Razali, 46, memberitahu hubungannya dan kekasih berjalan lancar sejak dua tahun lalu.

“Saya tidak boleh bercinta seperti zaman muda dulu kerana kali ini, saya mahu bercinta kerana Allah SWT. Ada juga yang bertanya kenapa saya memilih gadis muda sebagai calon isteri, bagi saya ia soal jodoh.

“Apapun, saya mahu kekasih tamat belajar dulu dan pada masa sama, saya juga mahu memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dan stabil dari segi kewangan untuk kembali berumah tangga,” katanya.

Menurutnya, dia berharap agar perkahwinan kali ketiga itu nanti akan berkekalan.

“Saya sudah dua kali gagal dalam perkahwinan dan tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama lagi. Terus terang, saya berasa bersalah dengan dua bekas isteri dan anak-anak kerana keruntuhan rumah tangga yang lalu,” ujarnya.

Disoal tentang penjagaan anak, hubungannya dengan tiga anak turut baik meskipun selepas berlaku perceraian dengan ibu mereka.

“Anak dari perkahwinan pertama sudah berusia 18 tahun. Manakala, dua lagi anak dari perkahwinan kedua, Nur Aishah, 8, dan Muhammad, 7. Aishah dijaga neneknya dan Muhammad kini dalam penjagaan saya.

“Muhammad sangat rapat dengan saya, kalau makan atau minum, dia akan tinggalkan separuh untuk saya,” jelasnya.

Maya Basir