Bintang TikTok Kini Jadi Artis… The Sara Sisters – 4 Beradik Jelita Warnai Industri Nyanyian

Kumpulan pop wanita yang dikenali sebagai The Sara Sisters bakal mewarnai industri hiburan tanah air.

Kumpulan dianggotai oleh empat adik-beradik ini terdiri daripada Sara Jasmin, Sara Alia, Sara Aqila, dan Sara Qaleesya.

Sebelum ini, mereka merupakan bintang TikTok yang popular dan sering trending melalui konten-konten menarik yang pernah dihasilkan mereka semua.

“Alhamdulillah, terima kasih yang tidak terhingga buat pihak Rocketfuel kerana sudi menyunting kami empat beradik untuk menjadi artis di bawah naungan mereka.

“Semuanya bermula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada tahun 2020 di mana kami sering menghasilkan video cabaran tarian di TikTok dengan mendapat banyak tanda suka sehingga mula dikenali ramai,” kata Sara Jasmin.

Walaupun mereka mempunyai rupa yang seiras, masing-masing berperwatakan yang berbeza dan perkara itu dianggap sebagai satu keistimewaan.

“Ramai yang menyangka kami adalah quadruplet atau kembar 4 kerana memiliki raut wajah yang seakan-akan sama, namun hakikatnya setiap dari kami dilahirkan pada tahun yang berbeza.

“Mungkin kerana keistimewaan itulah kami menjadi perhatian sehingga dipelawa menjadi sebahagian dari keluarga besar Rocketfuel,” jelas Sara Alia.

Biarpun sering menjadi duta jenama-jenama tempatan dalam mempromosikan produk, mereka turut meluahkan hasrat untuk fokus dalam bidang nyanyian terlebih dahulu.

“Kalau boleh, kami mahu betul-betul fokus pada bidang nyanyian terlebih dahulu sebelum mencuba bidang lain seperti lakonan, pengacaraan dan lain-lainnya.

“Sebagai kumpulan empat beradik yang pertama di Malaysia, kami akan buktikan pada semua yang kami juga mampu memberi saingan sihat pada girl group yang sedia ada,” kata Sara Qaleesya.

Selain itu, Sara Aqila turut meluahkan rasa terujanya untuk memperdengarkan single sulung mereka yang berjudul ‘Bintang-Bintang’.

“Kami sangat teruja dan tidak sabar untuk memperdengarkan single sulung yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Setakat ini, apa yang boleh saya kongsikan adalah semuanya bakal menjadi kejutan kerana kami mahukan sesuatu yang lain dari lain. Lagu pertama itu nanti bakal menjadi bayangan jenis muzik yang akan kami bawakan kelak,” kongsinya.

Sara Jasmin juga menyatakan mereka akan berikan yang terbaik untuk single pertamanya dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan.

“Nantikan kemunculan The Sara Sisters secara rasminya tidak lama lagi,” katanya.

Fatin Nurain