Bront Palarae Bakal Pindah Ke Jakarta?

Kejayaan pelakon Bront Palarae menerusi tiga filem Indonesia membuatkan namanya menjadi popular di negara itu.

Maklum saja, lakonan hebat Bront ditambah pula dengan raut wajah tampan, tak hairanlah kalau Bront bakal dikenali sebagai artis ‘papan atas’ di sana!

Memetik laporan BH Online, sambutan hebat yang diterima di sana bagaikan petanda dia sudah boleh bertapak di sana. Persoalannya, mahukah jejaka ini berhijrah ke Indonesia seperti mana pelakon Ashraf Sinclair melakukannya.

” Soal nak berhijrah, saya belum fikirkan… Isteri mencadangkan kami berpindah ke sana, tapi ia bukan perkara mudah. Banyak perkara perlu saya fikirkan,” katanya ringkas.

Bront memberitahu, dirinya enggan membuat keputusan terburu-buru memandangkan banyak perkara perlu difikirkan sebelum melebarkan sayap ke Jakarta.

“Peluang bekerja dengan produksi asing atau luar negara membuka banyak manfaat. Impak yang paling ketara adalah ilmu diperoleh, pengalaman dan persahabatan terjalin.

“Daripada sudut pasaran pula, sebelum saya tembusi Indonesia, sudah ada penonton dari negara itu yang mencari filem lakonan saya.

Sebelum ini, Bront membintangi filem box office Indonesia iaitu Pengabdi Setan, Ayat Ayat Cinta 2 dan My Stupid Boss.

Dalam perkembangan lain, Bront memaklumkan, dia sibuk dengan penggambaran filem genre techno thriller berjudul Proksi arahan Zulkarnain Azhar, sejak awal 2018.

“Saya memegang watak sebagai penggodam yang disiasat bagi membantu mengesan suspek utama kes keganasan siber,” katanya.

Beliau berkata, lebih 50 peratus penggambaran dilakukan di Thailand.

“Antara pelakon terbabit termasuk Datuk Rosyam Nor, Faizal Hussein, Remy Ishak, Ashraf Sinclair, Sangeeta Krishnasamy dan Susan Lancaster,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bront teruja menanti tayangan filem terbitannya di bawah arahan Nam Ron, One Two Jaga, tidak lama lagi.

 

SGMS Faida