“Bukanlah Sorok Atau Merahsiakan…” Selepas 4 Tahun Nikah, Mona Allen & Pekin Ibrahim Bakal Timang Anak

Pelakon Mona Allen dan suaminya, Pekin Ibrahim bakal menimang cahaya mata pertama selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.

Menurut Mona, dia merancang untuk mengumumkan berita tersebut ketika kandungannya mencecah tujuh bulan namun berkongsi hal gembira berkenaan selepas banyak pihak bertanya.

Selain itu, Mona dan Pekin juga sudah mengetahui jantina kandungan namun memilih untuk tidak berkongsi kepada umum lagi.

“Alhamdulillah… Kandungan dah masuk enam bulan. Sebenarnya kami bukanlah sorok atau merahsiakan kehamilan namun memilih untuk tidak menghebahkannya.

“Jika diikutkan ada saja video atau gambar cuma memilih untuk mengumumkan selepas kandungan lebih kuat dalam tempoh enam atau tujuh bulan.

“Saya dan suami sudah mengetahui jantina kandungan namun memilih untuk tidak berkongsi kepada umum kerana tidak mahu dianggap ingin meraih perhatian pula,” kata Mona.

Menerusi perskongsian di Instagram, Mona memuat naik foto bersama suami dan memperlihatkan dia sedang memegang perut di Instagram miliknya.

Rata-rata peminat dan rakan selebriti mengucapkan tahniah kepada pasangan itu serta mendoakan segala urusan mereka dipermudahkan.

Sementara itu, Mona turut memberitahu suaminya mengalami alahan seperti mual, muntah dan mengidam sejak awal kehamilan.

“Saya tak ada alami alahan sepanjang hamil ini tapi Pekin pula kena tempias alahan. Masa bulan pertama itu, dia mual, muntah dan mengidam macam-macam.

“Sekarang pun, ada masa dia rasa mual-mual juga. Tapi tak selalu. Saya ada baca dekat online, katanya kalau lelaki yang kena alahan maksudnya dia suami penyayang,” katanya.

Mona mendirikan rumah tangga dengan Pekin pada 7 Disember 2018.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain