“Cermin Diri Tu Dulu… Korang Model Ke?” – Michael Ang ‘Sekolahkan’ Netizen Gara-Gara Beli Baju Online Tak Capai Piawaian

Menjelang sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang hanya berbaki empat hari sahaja lagi, rata-rata warganet kini sibuk membuat persiapan termasuklah membeli baju raya secara atas talian (online).

Bagaimanapun, timbul beberapa isu apabila baju raya yang dibeli tidak mencapai tahap ‘piawaian’ mereka dan berbeza dari apa yang ditunjukkan di laman sesawang.

Justeru itu pengarah terkenal, Michael Ang tampil bersuara apabila menegur tindakan warganet yang dilihat tidak bijak dalam mengendalikan situasi berkenaan.

“Pelanggan perlu sedar diri”

Michael Ang menerusi hantaran di Instagram miliknya memaklumkan, warganet perlulah bersikap sedar diri  kerana baju yang dijual secara online diperagakan oleh model yang memiliki saiz yang lebih kecil.

Tambahnya lagi, warganet yang ingin membeli pakaian secara online juga perlu menerima hakikat bahawa kualiti barangan yang dibeli secara online ini mungkin tidak menepati cita rasa masing-masing.

“Korang kena ingat tau, gambar diorang model yang pakai. Korang model ke?

“Kedua, korang semua beli je ikut apa yang korang fikir muat dan material pun kau tengok kat gambar je semua benda lepas ambik gambar dan kena touch up cantik,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap agar warganet lebih bijak dalam setiap keputusan yang dibuat dan tidak perlu untuk menjadikan perkara kecil sebagai satu isu yang besar.

“Nama pun iklan kan. Saya rasa kalau beli baju kena try dan rasa material baru beli. Kalau beli online terima la apa yang dapat dan tukar jika tak puas hati. Jangan nak kutuk- kutuk melainkan baju yang dibeli tu kotor atau memang bukan apa yang korang order,” jelasnya.

 

Salma Syahbuddin