Che Ta Tak Tahu Notis Isytihar Bankrap – “Saya Tak Pernah Lari Bayar Cukai”

Pelakon Rozita Che Wan memaklumkan dia tidak tahu mengenai penyebaran notis isytihar bankrap yang didakwa dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam.

Bercakap kepada XTRA, Rozita atau mesra disapa Che Ta berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana konsisten melakukan bayaran setiap bulan melalui ejen yang dilantik.

“Tuduhan merepek, kalau betul mesti saya dapat dahulu notis tersebut. Saya tidak terkejut sebab saya tidak pernah lari daripada membayar cukai.

“Saya membuat pembayaran cukai menerusi ejen hampir RM50,000 secara peribadi untuk sebulan.

“Apapun saya saya serahkan perkara ini kepada ejen yang dilantik,” katanya kepada pemberita.

Kongsi isteri kepada aktor, Zain Saidin itu lagi, dia mengaku sebelum ini dia pernah berdepan dengan masalah berkenaan cukai pada 2014 apabila ditahan di lapangan terbang KLIA sebelum berlepas London, England.

“Saya pernah berdepan isu cukai sampai di tahan di lapangan terbang, tetapi itu lama dahulu sekarang saya memang bayar cukai.

“Saya tidak mahu mahu layan benda ini kerana bukan masalah saya,” ujar Che Ta.

Che Ta ditemui pada majlis pelancaran produk baharu keluarannya iaitu serum Cekang Jelita dibawah jenamanya by RCW di Glam Hall, Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Khairil Khusyairi