Cubaan Tukar Jantina, Sajjad Diminta Tampil Buat Permohonan Maaf

“ Saya tuntut permohonan maaf daripada Muhammad Sajad Bin Kamaruzzaman dan pembantunya Ashari Maznan dalam masa 48 jam,” demikian kata seorang individu dikenali Yusmiliati Mohamad Yusof mendakwa telah dianiaya ahli perniagaan itu.

Dalam sebuah sidang media sebentar tadi, Yusmiliati mendakwa seorang individu yang berkawan dengan ahli perniagaan terkenal itu datang berjumpanya pada tahun 2017.

“ Kami berjumpa beberapa kali di Ampang dan pejabatnya. Beliau dan pembantunya Ashaari Maznan telah menyatakan hasrat membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPNM) untuk menukar jantina di kad pengenalan iaitu tertera jantina lelaki kepada perempuan.

“ Beliau telah menyerahkan dokumen berkaitan untuk membuat permohonan dengan menyerahkan dokumen berkaitan. Saya telah ke pejabat JPNM menyerahkan borang permohonan bagi pertukaran jantina di kad pengenalan beliau,” katanya memberitahu Sajjad merancang untuk berkahwin tidak lama lagi.

Malangnya, tambah Yusmiliati permohonan usahawan itu telah ditolak atas alasan pemohon gagal melampirkan salinan satu surat daripada doktor yang mengesahkan beliau seorang khunsa.

Sementara itu, wanita itu didakwa oleh Sajjad telah menipunya kerana tidak memenuhi permintaan bagi permohonan penukaran jantina.

“ Pihak Sajad telah membuat laporan polis pada 29 Ogos 2018 yang menuduh saya menipu beliau sehingga saya ditahan reman oleh pihak Polis selama empat hari di Balai Polis Ampang bagi kesalahan jenayah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya kecewa.

Dalam masa sama, wanita ini memohon agar Sajjad tampil membuat permohonan maaf dalam masa 48 jam menerusi laman sosialnya.

“ Saya telah dianiaya dan dituduh sebagai penipu sedangkan beliau yang tidak memenuhi prosedur permohonan di JPNM,” katanya.

Difahamkan, wanita ini turut memulangkan sebahagian daripada bayaran caj yang telah diserahkan kepada beliau.

Menurutnya, Muhammad Sajjad dan pembantunya, Ashaari Maznan perlu membuat permohonan maaf kepadanya dalam masa 48 jam dari tarikh hari ini dalam bentuk bertulis dan dialamatkan kepada peguamcaranya serta sebuah video permohonan maaf yang boleh disaksikan oleh orang awam.

SGMS Faida