Dakwaan Pinjam Duit…Ini Komen ‘Ibu’!

Pelakon, Fauziah Nawi, membuat laporan polis susulan ada individu tidak bertanggungjawab menggunakan foto dan identitinya untuk tujuan penipuan.

Fauziah ketika dihubungi berkata, beberapa rakannya menerima kiriman WhatsApp daripada nombor yang tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai ‘ibu’.

“Individu itu meminta untuk meminjam sejumlah wang daripada rakan-rakan.

“Mujurlah mereka tidak terpedaya dan terus menghubungi saya untuk pengesahan,” katanya.

Pelakon itu mengakui ada muat naik foto terbaru di Facebook dan individu itu menggunakan gambar itu untuk ‘memancing’ rakan-rakannya.

Malah individu itu bertanya sama ada foto itu cantik atau tidak walhal dia tidak pernah berbuat begitu.

“Individu itu meminta memindahkan sejumlah wang ke akaun menggunakan nama Ustaz Haji Salemardan Biska,” katanya lagi.

Tahun lalu, Fauziah sendiri pernah dihubungi oleh nombor tidak dikenali, menggunakan identiti rakannya dan modus operandi yang sama.

“Tahun lalu, identiti rakan saya turut digunakan melalui taktik sama. Saya tak pasti kali ini individu sama atau tidak.

“Saya harap kita lebih berhati-hati kerana dalam dunia sekarang, ramai orang menggunakan taktik kotor untuk mendapatkan wang mudah,” katanya.

Oleh: Endy Ashari

SGMS Faida