Categories: HiburanSelebriti

Dakwaan Songlap Duit, Aliff Aziz Bakal Jelas Perkara Sebenar

Penyanyi Aliff Aziz menyangkal dakwaan yang dibuat seorang lelaki berhubung hutang, baru-baru ini.

Tulis pelakon Halalkan Hati Yang Ku Curi ini di laman Instagram, dakwaan tersebut adalah tidak masuk akal dan dilihat seperti tindakan terdesak.

“ Jangan membuat konklusi tanpa melihat situasi di kedua-dua belah pihak. Harap anda seronok dengan ‘isu viral’ anda, Encik Minyak Wangi. 

“ Bergembiralah selagi boleh, kerana ia tidak akan bertahan lama. Anda hanya dapat melihat isu ini mengikut apa yang saya paparkan saja. Nak songlap duit RM1,500 adalah tidak masuk dek akal. Tak boleh beli kereta Kancil pun.

“Salah faham yang besar dan keadaan terdesak menyumbang kepada perkara ini. Tetapi tidak mengapa. Saya akan memberitahu penjelasan lanjut berhubung isu ini dalam tempoh terdekat,” katanya.

Semalam, individu bernama Rashidi Ramli menerusi akaun Facebook miliknya membuat pendedahan kononnya ditipu oleh artis kelahiran Singapura itu.

Rashidi mendakwa Aliff ada menghubunginya kerana mahu meminjam sejumlah wang dan sebagai balasan, artis itu berjanji akan mempromosikan produk miliknya di Instagram, selama lapan minggu.

Bagaimanapun, Aliff dikatakan sukar untuk dihubungi selepas wang pinjaman diberikan. Pada masa sama, hanya satu entri promosi produk didakwa dibuat oleh Aliff, yang dipadamkan keesokan hari.

Kemudian, apabila diminta untuk memulangkan duit terbabit, Aliff dikatakan enggan berbuat demikian kerana menyifatkan urusan antara kedua-dua pihak sudah selesai selepas promosi produk di Instagram dilaksanakan.

Dakwa Rashidi, dia hanya memberikan sejumlah wang kepada Aliff selepas beberapa kali didesak berserta janji manis.

Katanya lagi, selepas menyerahkan wang berkenaan, Aliff didakwa beberapa kali lagi cuba mengugutnya supaya memindahkan wang ke akaunnya kerana jika dia tidak berbuat demikian, artis terbabit dikatakan takkan mempromosikan produknya di Instagram.

“Selepas saya berkeras tak nak bagi duit lagi, dia cakap hanya akan buat posting produk sekali saja, walhal janji sebelumnya untuk lapan minggu,” tulis Rashidi di Facebooknya.

SGMS Faida