Danial Zaini Tak Serik Dikecam Netizen – “Ada Masa Perlu Ikut, Ada Masa Kena Lari Sikit…”

Pelawak Danial Zaini memberitahu tidak serik untuk kembali mengacara program televisyen (TV) walaupun pernah dikecam sewaktu mengendalikan program realiti stesen TV berbayar, tahun lalu.

Menurut Danial atau nama sebenar Mohamad Danial Mohd Zaini, dia tidak pernah kecewa dengan apa yang telah berlaku, sebaliknya netizen yang memanaskan lagi keadaan.

“Saya masih menerima beberapa tawaran mengacara walaupun dikecam teruk sebelum ini. Saya tidaklah sampai tahap serik untuk kembali mengacara selepas ini, boleh sahaja panggil saya.

“Tetapi, saya risau orang lain serik lihat saya mengacara. Ada yang kata saya kecewa, tetapi sebenarnya saya baik sahaja di rumah.

“Selepas kejadian itu, saya kurang mengacara, tetapi saya baik sahaja. Cuma, netizen menggembar-gemburkannya.

“Bagaimanapun, saya gembira dengan apa yang berlaku kerana sekurang-kurangnya dapat belajar perkara baharu,” katanya.

Danial ditemui semasa Majlis Pelancaran Restoran Paku & Pontianak cawangan kedua yang bertempat di Jalan Gurney, Kuala Lumpur.

Tambahnya, dia menganggap segala apa yang berlaku adalah pengajaran buat dirinya.

“Selepas kejadian itu barulah saya faham, bidang pengacaraan ini tidak hanya perlu mengikut skrip sepenuhnya.

“Ada masa perlu ikut dan ada masa perlu lari sikit daripada skrip bergantung kepada situasi ketika itu.

“Tidak semua perlu berpandukan skrip, cuma perlu faham perjalanan program dan selebihnya terpulang kepada kreativiti pengacara itu,” jelasnya.

Pada masa sama, Danial turut menegaskan bahawa sensitiviti umum tetap menjadi keutamaan ketika mengacara.

“Sudah tentu sensitiviti perlu menjadi keutamaan ketika mengacara, tetapi dalam masa sama, kita perlukan hiburan. Program televisyen perlukan elemen kelakar dan kontroversi.

“Perkara ini tidak dapat dielakkan, apa sahaja program sangat memerlukannya. Ia sudah masuk kategori wajib, kalau tidak ada, maka tak seronok,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Danial kini mengusahakan Restoran Paku & Pontianak yang baru dibuka secara rasmi, baru-baru ini.

Restoran yang mengetengahkan konsep menghargai wanita itu menyediakan pelbagai juadah seperti Australian Black Angus Grain Fed Tomohawk Steak, Ribeye Steak, Sirloin Steak, Lamb Moussaka dan banyak lagi.

Maya Basir