“Dia Ibu Sempurna” – Isteri Berhasarat Untuk Kurus, Fizz Fairuz Halang Almy Nadia Jalani Pembedahan Bariatrik

Pelakon, Datuk Fizz Fairuz memaklumkan pernah menghalang isteri tercintanya, Datin Almy Nadia untuk melakukan pembedahan bariatric atau potong usus kerana berhasrat untuk menguruskan badan.

Memetik laporan Gempak, Fizz berkata dia tidak kisah mengenai rupa bentuk fizikal isterinya itu, malah menurutnya apa yang penting adalah kebahagiaan keluarganya.

“Saya menerima dirinya yang sekarang. Saya tidak kisah kerana saya suka dia begitu (berbadan besar).

“Dia pernah kata nak kuruskan badan dan saya berikan dia galakan. Tapi cara yang bagaimana? Potong usus? Sementara nak tunggu sembuh lebih kurang dua tiga minggu, anak-anak nanti bagaimana?

“Saya kata tak payah lah kalau susah begitu, saya cuma hendak dia gembira sahaja jalani kehidupannya seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada empat anak ini turut meminta orang ramai untuk berhenti mengkritik bentuk fizikal isterinya yang juga merupakan seorang pelakon suatu ketika dahulu.

“Kadang-kadang isteri tanya sama ada saya sayangkan dia atau tidak kerana bentuk badannya yang gemuk. Saya cakap biarlah dia macam tu.

“Kalau dia kurus, saya tidak fikir isteri akan dapat jadi seorang ibu sempurna. Saya bersyukur dengan kehadiran empat orang cahaya mata dalam keluarga.

“Jadi tidak perlu fikir kalau orang bercakap buruk tentangnya,” ujar pelakon filem Mat Tudung ini.

Fizz pernah berhasrat untuk mengambil pembantu rumah bagi meringankan beban isterinya namun ditolak.

“Penat juga lihat dia uruskan rumah dan anak-anak tapi saya nak ambil pembantu, dia tak mahu. Semua kerja nak buat sendiri. Nak buat macam mana itu yang dia mahukan,” tambahnya.

Sebelum ini, berdasarkan sebuah video Fizz berkata sekiranya Almy kurus, dia akan mengandungkan isterinya itu sekali lagi.

Artikel Berkaitan: “Kalau Awak Kurus, Saya Mengandungkan Balik” – Fizz Fairuz Anggap Almy Nadia Berbeza Jika Kurus

Terdahulu, Almy pernah menjadi mangsa kritikan netizen tentang berat badannya selepas melahirkan anak dan tidak bergiat aktif dalam dunia lakonan.

Untuk rekod, Fizz dan Almy mendirikan rumah tangga pada 26 April 2004 dan dikurniakan empat cahaya termasuk seorang anak angkat.

Aqilah Paharuzi