Didakwa Hamil Anak Kedua, Hubungan Lesti Kejora & Rizky Billar Semakin Pulih

Hubungan pasangan selebriti Indonesia Lesti Kejora dan Rizky Billar dikatakan semakin pulih selepas sering kelihatan mesra di tempat awam.

Memetik laporan Kosmo, foto penyanyi dangdut itu menemani suaminya bermain futsal di kawasan TB Simatupang, Jakarta Selatan turut menjadi bualan netizen, baru-baru ini.

Lebih menarik lagi, terdapat desas-desus yang menyatakan kini Lesti sedang hamil anak kedua mereka yang juga menjadi punca penyanyi itu menarik semula laporan polis terhadap Billar.

Susulan perkara itu, Aril Lobster atau Boril selaku pengurusnya juga belum pasti dengan kesahihan berita tersebut atau ia sekadar khabat angin.

“Saya tidak tahu tentang itu, doakan sahaja kalau ramai anak itu rezeki.

“Sekarang semua juga nampak mereka sedang sibuk memperbaiki diri dan rumah tangga. Nampak lebih intim dan meluangkan masa untuk keluarga,” ujarnya.

Selain itu, Boril juga menyatakan bahawa kini pasangan tersebut masih mahu berehat dan belum menerima sebarang tawaran untuk kembali muncul di kaca televisyen.

Malah, dia juga memaklumkan Lesti dan Billar dikhabarkan sudah berpindah ke kediaman baharu yang tidak diketahui.

Terdahulu, Lesti telah membuat laporan polis terhadap suaminya, Billar selepas dipukul gara-gara kelakuan curangnya diketahui.

Namun, penyanyi itu mengambil tindakan untuk menarik semula dakwaan tersebut dan menjalani kehidupan rumah tangga seperti biasa.

Sumber: Kosmo

Fatin Nurain