Diiktiraf Lelaki Paling Seksi, Apa Komen Remy Ishak?

Pelakon kacak Remy Ishak mengaku tidak pernah berasa dirinya seksi atau kacak sehingga layak diiktiraf sebagai selebriti lelaki paling seksi di Anugerah Stail EH! 2019, baru-baru ini.

Kata Remy ketika ditemui di majlis pelancaran butik terbaharu MINAZ  di pusat beli-belah SOGO  KL, beliau berterima kasih dengan pandangan peminat terhadap dirinya.

“Saya tak mampu nak jawab sebab kalau jawab nanti saya rasa saya perasan. Penghargaan peminat ini di luar jangkaan saya.

“Biasanya orang seksi tak rasa dia seksi pun, jadi saya tak pernah rasa seksi atau kacak pun, malah tak rasa saya popular pun. Saya adalah manusia biasa yang bekerja sebagai pelakon menghiburkan orang,” katanya syukur dengan anugerah itu.

Ketika ditanya bahagian tubuhnya yang dirasakan seksi, Remy sambil ketawa menjawab kemungkinan kening dan matanya.

“Itu kata mereka bukan saya,” katanya ringkas.  

Dalam pada itu, jelas Remy, dia menyifatkan definisi seksi adalah kematangan berfikiran bukan semata-mata fizikal dan bentuk badan.

Oleh: Fas

SGMS Faida