Drama Kontroversi Anak Tuan Bakal Bersiaran Malam Ini, Pamer Babak Viral Fasha Sandha Tercedera

Drama Kontroversi Anak Tuan Bakal Bersiaran Malam Ini, Pamer Babak Viral Fasha Sandha Tercedera

Telefilem Anak Tuan terbitan Geehan (M) Sdn Bhd yang bakal bersiaran pada malam ini merupakan sebuah telefilem kontroversi yang menyebabkan pelakon Fasha Sandha mengalami kecederaan di bahagian mata kirinya.

Malah,  insiden yang berlaku menyebabkan ada pihak tampil menyalahkan dan mendakwa kecuaian itu berpunca daripada pelakon, Azhan Rani.

Tidak habis disitu, Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 39, bagaimanapun menjelaskan, Azhan tidak menolaknya dengan kuat ketika adegan itu dilakonkan sebaliknya dia yang ‘mendarat’ di tempat yang salah.

“orang kata abang tolak kuat, sebenarnya tak kuat pun, video semua ada. Itu hanyalah andaian orang sahaja, mereka yang bukan dalam industri tidak tahu pun.

“Sebenarnya, abang bukan tolak betul-betul, sebaliknya hanyalah lakonan. Saya yang tolak badan dan ‘mendarat’ di tempat salah. Lagipun, benda sudah jadi, hendak buat macam mana,” katanya.

 

Telefilem Anak Tuan arahan Along Kamaludin ini mengisahkan tentang Ana (Fasha Sandha) seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak iaitu, Adam (Hafiy Altamis), Ayu (Kiky Hannah)  dan Afiq (Habri Altamis).

Ana mendapat tahu dia mempunyai kanser ovari selepas dimaklumkan oleh doktor, malah dia hanya mempunyai masa yang singkat iaitu selama 6 bulan sahaja untuk hidup.

Sedar dengan dugaan yang dihadapi, Ana mula merancang masa depan ketiga-tiga anaknya termasuklah mencari rumah anak yatim dan sekolah tahfiz yang terbaik namun kesemuanya mahal dan memerlukan wang yang banyak.

Terpalit dengan masalah kewangan dan penyakit yang dihadapi, Ana cuba mencari suaminya Sani (Azhan Rani) bagaimanapun keberadaan Sani tidak diketahui. Malah, Ana juga terfikir untuk meminta pertolongan ibunya, Salmah (Azizah Mahzan) namun menyedari ibunya juga sudah terlalu uzur untuk menjaga anak-anaknya.

 

Buntu dengan keadaan tersebut, Ana cuba mencari keluarga angkat yang mahukan anak-anaknya.

Namun, konflik terjadi selepas Ana meninggal dunia dan Adam tidak mahu berpisah dengan adik-adiknya sehinggalah mereka mengambil keputusan untuk melarikan diri bersama-sama.

Sekadar info, Telefilem Anak Tuan mula bersiaran pada Jam 9 Malam ini menerusi slot Cereka Ahad, di TV3.

 

Salma Syahbuddin