Elak Stress, Ebby Yus Lebih Selektif Pilih Watak

Pelawak dan pelakon, Ebby Yus bersyukur keadaan kesihatannya bertambah baik selepas mendapatkan rawatan berkala.

Ebby ketika ditemui Xtra memberitahu dia kini lebih aktif menerima tawaran berlakon selepas setahun setengah ‘rehat’ dari dunia lakonan.

“Setakat hari ini saya masih rancak menerima tawaran berlakon. Mungkin ramai ingat pihak produksi takut ambil saya berlakon tetapi sebenarnya tidak.

“Lebih terharu, mereka memberi kelonggaran kepada saya di set. Pengarah akan bertanya sama ada saya mampu untuk melakukan babak ini atau tidak. Contohnya kalau babak berlari, saya dari awal beritahu tidak mungkin mampu lakukannya,” katanya.

Pelawak berusia 55 tahun ketika ditemui di sidang media program Stand up Komedi Otai terbitan Astro di The Love, Matic memaklumkan dia meletakkan kesihatan sebagai keutamaan nombor satu pada masa ini.

“Atas sebab itu saya kalau boleh mengelak ambil tawaran yang boleh membuatkan saya stress.

“Jika diminta untuk masuk pertandingan lawak juga saya akan tolak. Saya akan terima job yang saya mampu. Jika di luar kemampuan, mungkin itu rezeki untuk pelawak lain,” akhirinya.

Januari tahun ini, Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid mengakui keadaannya kini lemah selepas disahkan doktor mengidap penyakit buah pinggang tahap tiga malah keadaan penyakit lamanya iaitu jantung semakin lemah.

Semoga cepat sembuh, Ebby Yus…

Oleh: Fas

SGMS Faida