Enjoy Kayuh Basikal, Siti Nurhaliza Teringat Zaman Kanak-Kanak

Penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui obses dengan aktiviti berbasikal sejak dua tahun kebelakangan ini.

Katanya ketika ditemui di sidang media Karnival Marhabbah 1.0 siang tadi memberitahu beliau akan mula mengayuh seawal jam 7 pagi.

“ Sejak zaman kanak-kanak saya memang suka mengayuh basikal. Namun selepas aktif dalam dunia seni saya jarang melakukan aktiviti ini sehinggalah dua tahun lalu, saya kembali mengayuh.

“ Apa lagi suami pun berkongsi hobi yang sama. Kami kerap melakukan aktiviti ini bersama-sama rakan yang berkongsi minat yang sama,” katanya.

Tambah ibu kepada Siti Aafiyah ini, beliau memilih dua lokasi sebagai ‘favourite spot’ iaitu di sekitar Putrajaya dan Hulu Langat.

“ Di Putrajaya laluan trek sangat praktikal dan selamat. Selain di situ, saya juga melakukan aktiviti berbasikal di Hulu Langat. Di sini suasana lebih tenang dan nyaman.

“ Dapat menghirup udara segar dan jauh dari kesesakan lalu lintas, saya rasa seronok. Teringat sewaktu zaman kecil dulu dengan suasana begitu,” katanya.

Akui Siti yang baru sahaja selesai mengadakan konsert jelajah tiga negara pada bulan lalu, beliau juga kebiasaanya mengayuh sejauh 20 hingga 30 kilometer.

“ Mencabar tetapi pengalaman yang saya dapat itu mahal. Dari aktiviti ini, saya mengenali ramai orang yang berkongsi minat sama.

“ Pernah juga berdepan pengalaman terjatuh dari basikal, adalah lebam sikit. Selepas itu saya lebih berhati-hati agar kejadian sama tidak berulang lagi,” katanya.

Beliau juga memaklumkan memiliki basikal jenis ‘Road Bike’. Menarik tentang basikal ini, posisi agak mencabar sedikit memandangkan pengayuh perlu menunduk dan bentuk basikal juga sedikit tinggi.

Wartawan: Azroy

SGMS Faida