Ernie Zakri Tak Cerewet Berfesyen, Tetap Mahu Tampil Sopan & Cantik Seiring Dengan Usia

Penyanyi Ernie Zakri tampil mendedahkan dirinya tidak pernah cerewet untuk berfesyen biarpun dirinya kini sudah bergelar seorang ibu dan semakin meningkat usia.

Menurut Ernie, dia tidak meletakkan sebarang kriteria untuk memperagakan sebarang pakaian asalkan dirinya masih boleh kelihatan cantik dan sopan.

“Saya tak cerewet untuk peragakan sebarang pakaian. Saya suka asalkan saya nampak cantik bila saya memakainya. Kecuali bila dah jadi ibu ni saya lebih suka kalau pakaian saya tutup perut. Selebihnya saya okay.

“Seiring dengan usia juga. Suatu ketika dahulu, sebelum saya berkahwin saya ada satu visi yang saya memang suka explore fesyen.

“Tapi, seiring dengan usia dan mungkin beberapa tahun saya dalam industri, saya dah nampak saya punya jalan saya. As long as pemakaian itu sopan untuk saya, selagi suami saya (Syamel) izinkan, saya okay.

“Sebab pada saya asalkan saya nampak cantik. Pada saya, fesyen ni semua tentang cantik untuk saya. Kalau saya rasa pemakaian tu tidak sesuai dengan imej saya sudah tentu saya tak akan peragakannya,” katanya.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Ernie ketika ditemui di majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-2 Rizman Ruzaini Mono Scarves yang berlangsung di KL East Mall, baru-baru ini.

Pernah tampil memperagakan pelbagai konsep baju di beberapa anugerah terulung, Ernie bagaimanapun sedar bahawa dirinya perlu menjaga batasan ketika berfesyen kerana imejnya yang bertudung.

Bahkan, dia tidak kisah sekiranya fesyennya dikecam asalkan dirinya asalkan ia bersesuaian dengan imej terkininya dan sedap mata memandang.

“Dulu saya pernah explore macam-macam benda sebelum bertudung. Apabila dah bertudung ni saya rasa kena ada sedikit perbatasan untuk diri saya lebih-lebih lagi bila dah jadi seorang ibu.

“Kalau dulu boleh pakai pasulah macam-macam kan. Tapi sekarang ni saya rasa penampilan itu kena sesuai dengan imej saya dan ikut konsep. Pada saya, berfesyen tak salah, asalkan kita tahu batasannya.

“Saya okay kalau fesyen saya dikecam, sebab kita pakai macam mana pun kena kecam, apatah lagi kalau tak pakai apa-apa.

“Jadi, pada saya asalkan saya jaga diri saya, saya tahu ia bukan sesuatu yang tak sedap mata orang memandang, saya okay sahaja,” jelasnya.

 

Fatin Nurain