Categories: EventsTrending

Bagi Hormati Bulan Ramadan, Ungu Di Kuantan Bersama Artis Tanah Air Pada 24 Februari Ditunda

Meskipun sempat merencanakan pesta khusus khas untuk rakyat Pahang dan Pantai Timur secara amnya iaitu Pesta Muzik Kuantan pada 24 Februari ini, Showpro Entertainment Sdn. Bhd selaku Penganjur telah mengambil keputusan menunda acara berkenaan.

Tidak ada yang lebih diutamakan oleh pihak penganjur selain menjaga sensitiviti, toleransi demi keharmonian serta menghormati pelbagai kaum dan agama sebagai rakyat Malaysia tercinta.

Pihak penganjur juga telah menukar nama acara ini ke ‘Ungu Di Kuantan Bersama Artis Tanah Air’.

Setelah mengambil kira faktor perkembangan isu semasa serta menghormati sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri, pihak penganjur bersetuju untuk menunda pesta berkenaan ke tarikh baharu iaitu 4 Mei 2024.

Keputusan penundaan pesta berkenaan juga mendapat respons positif dari seluruh barisan artis dan pihak yang terlibat termasuklah kumpulan terkenal Indonesia, UNGU serta barisan artis tempatan iaitu Eda Ezrin, Ara Johari, Naim Daniel, Khai Bahar, Nabila Razali, Den Manjo dan Aswad Jalil.

‘Ungu Di Kuantan Bersama Artis Tanah Air’ ini pada asalnya mempunyai objektif untuk terus melestarikan budaya, menggalakkan apresiasi seni dan membantu penjanaan ekonomi di karnival jualan produk tempatan seperti makanan dan cenderahati serta aktiviti-aktiviti menarik di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Gabungan seni muzik dan kebudayaan penduduk tempatan secara tidak langsung dikomersialkan sebagai salah satu tarikan pelancongan terbaik pengunjung ke Kuantan dan daerah-daerah lain di Pahang serta negeri di kawasan Pantai Timur.

Justeru, pihak penganjur dengan rendah hati memohon maaf kepada semua pembeli tiket konsert.

Bagaimanapun, semua pembeli tiket konsert boleh mengekalkan status pembelian mereka memandangkan hanya perubahan tarikh konsert sahaja yang berlaku iaitu dari 24 Februari 2024 kepada tarikh yang telah ditetapkan.

Atiqah Johari