Famili Duo 3: “Kalau Juri Teliti Lirik & Persembahan Kami Mungkin Mesej Sampai”- Dikritik Teruk Oleh Ajai, Mas Idayu… Adam & Ryan Bakery Tak Terasa Hati

Pasangan adik beradik program realiti hiburan Famili Duo musim ketiga (FD3) Adam dan Ryan Bakery tidak terasa hati terhadap kritikan negatif juri tetap, Ajai dan Mas Idayu.

Ryan dan Adam ketika ditemui usai program tersebut berkata mereka menerima segala komen juri dengan hati yang terbuka untuk menyuntik semangat dalam meneruskan perjuangan dalam FD3.

“Kami bukan penyanyi, sedikit sebanyak ada pelbagai benda baru yang kami belajar. Kami hormati dan terima apa saja yang juri-juri katakan.

“Kami tak rasa apa, pada kami komen tu ambil sebagai kebaikan untuk menaikkan lagi semangat. Satu pengajaran yang memantangkan.

“Insya-Allah, lepas ni kami akan lebih berkonsepkan. Segala cabaran dan rintangan kami kena hadaplah,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut, Ryan berkata pemilihan lagu Kau Tigakan Cinta nyanyian asal Elkasih yang mengisahkan tentang kecurangan itu dipilih atas dasar trending sahaja.

“Lagu tu tengah trending di media sosial, dan kami expect bila pilih lagu tu audience akan layan nyanyi bersama.

“Lirik dia pun berulang-ulang, catchy dan mudah. Kami juga membuat konsep dengan penari, tapi penyampaian dia tak sampai.

“Tetapi, kalau juri cuba teliti dengan lirik lagu mungkin mereka akan faham apa yang disampaikan dengan pementasan persembahan itu.

“Tapi kami tahu lagu tu macam mana, bukan sekadar bersahaja. Ada mesej yang cuba kami sampaikan, tapi tak sampai,” katanya lagi.

Pada malam program tersebut, kedua-dua juri tetap, Ajai dan Mas Idayu tidak menyukai persembahan pasangan duo adik-beradik ini.

Malah, Ajai dan Mas Idayu memberikan markah rendah iatu 3 dan 4 sahaja.

Menurut Mas Idayu, persembahan mereka tidak sampai dan agak bercelaru, Ajai pula memberi komen terhadap cara nyanyian mereka yang dikatakan teruk.

Selain Ryan dan Adam, program nyanyian itu juga disertai oleh, Shila dan Syahir, Adira dan Emma, Tom dan Fuad Rahman, Haqiem Rusli dan Ariff Bahran dan Syaiful dan Sharif.

Selain Ajai, penyanyi dangdut Mas Idayu juga merupakan juri tetap untuk program tersebut.

Orang ramai boleh menonton Famili Duo Musim Ketiga yang dikendalikan oleh hos Izzue Islam dan Janna Nick itu di TV3, jam 9 malam, setiap Ahad.

Artikel Berkaitan: Famili Duo 3: Persembahan Minggu Ke-2 Terima Komen Pedas Dari Ajai, Video Spontan Ryan & Adam Bakery Buat Ramai Berdekah

Aqilah Paharuzi