Categories: HiburanTrending

“Ijazah Terbaik Datang Dari Jalanan” – Ajak Shiro Nafi Kelayakan Akademik Untuk Bergelar Pengarah

Pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro mengakui seseorang tidak perlu mempunyai kelayakan profesional untuk bergelar pengarah drama atau filem.

Menurut laporan Berita Harian, Ajak menyifatkan dirinya individu bergelar ‘street smart’ yang menimba ilmu pengarahan secara jalanan.

“Selepas membuka syarikat produksi, Baba House Production, saya melangkah setapak lagi iaitu menjadi pengarah.

“Telefilem sentuhan saya berjudul Baba Sita akan ditayangkan di saluran Astro Warna, tidak lama lagi.

“Sebelum menceburi bidang pengarahan, saya bertanya kepada beberapa pihak mengenai keperluan melanjutkan pelajaran dalam bidang itu.

“Jawapan yang diterima adalah rata-rata mereka berpendapat tidak semestinya mereka yang ada kelayakan profesional boleh melaksanakan tugas pengarahan apabila berada di lapangan.

“Ada antara pengarah tidak memiliki kelayakan kertas tapi sukses dalam mengarahkan filem. Saya juga berpegang pada kata-kata ijazah terbaik datang dari jalanan,” katanya.

Ajak atau nama sebenar, Mohd Hanaffi Razak, 37 turut meminta pandangan daripada senior penggiat industri perfileman.

Bahkan, pengalaman mereka yang luas dapat membimbing Ajak dalam selok-belok penghasilan filem.

Bagi penyampai stesen radio Suria FM itu, kunci kejayaan adalah kerap bertanya individu-individu yang lebih berpengalaman. Justeru, perasaan malu perlu ditolak tepi.

“Saya akui pengalaman saya masih belum cukup untuk menjadi pengarah. Jadi, bagi mengasah kemahiran, saya bertanyakan mengenai ilmu pengarahan daripada Allahyarham abang Mamat Khalid dan Sabri Yunus.

“Saya juga hubungi Rashid Sibir untuk tujuan sama. Saya terbuka dengan kritikan kerana boleh membantu saya memperbaiki diri,” jelasnya lagi.

Syamir Shafie