Categories: HiburanSelebriti

Fiza Thomas Takut Kongsi Pentas Dengan Nabila Huda?

Pelakon Fiza Thomas mengaku gementar apabila diberi peluang beraksi di pentas Istana Budaya untuk teater Ola Bola The Musical.

Fiza atau nama sebenarnya Nurhafizah Long Kip @ Thomas memaklumkan dia lebih gementar selepas dimaklumkan pelakon berbakat besar, Nabila Huda turut membintangi teater ini.

“ Cabaran terbesar Ola Bola musim kali ini adalah ketika diberitahu Abil turut ada di pentas. Pada awalnya saya fikir, bagaimana nak buat diri saya tidak tenggelam dengan penampilan Abil.

“ Abil merupakan pelakon hebat, saya perlu memastikan agar kami nampak seimbang bila di pentas. Dari sudut lain, saya fikir ini mungkin peluang saya untuk menyinar apabila diberi peluang berkongsi pentas dengan pelakon terkenal,” katanya kepada XTRA.

Akui Fiza yang membawakan watak Retno, dia memberikan komitmen luar biasa dalam menjayakan Ola Bola The Musical kali ini.

“ Saya mengaku seorang yang ‘Gila Pentas’. Bila dapat naik pentas teater, mikrofon sudah dipasang, ‘roh’ dia tu lain macam. Saya obses dengan pentas untuk lepaskan gian berlakon.

“ Sejak dari sesi raptai lagi, saya memang bersungguh sehingga ada yang cakap ‘kau ni raptai pun memang all out eh’.

“ Saya mahu lakukan yang terbaik supaya di hari pementasan, saya dapat gambaran sebenar. Dalam masa sama saya boleh seimbangkan tenaga di pentas,” akhirinya.

Ola Bola musim kedua mengetengahkan beberapa muka baharu antaranya Tony Eusoff sebagai Coach Harry Mountain, Hafeez Mikail sebagai Eric Yong dan Nabila Huda yang akan membuat beberapa kemunculan istimewa.

Dibawakan oleh syarikat produksi Enfiniti, OlaBola The Musical 2 akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, dari 18 Februari hingga 3 Mac ini.

Tiket-tiket akan boleh mula didapati di buytickets.asia bermula 18 Januari ini.

SGMS Faida