Gandingan Redza Rosli & Amyra Rosli Dalam Drama ‘Kerasnya Takdir’

Kerasnya Takdir diinspirasikan daripada novel Kerasnya Takdir, karya hebat oleh Haitun Kamarazaman dan hasil nukilan skrip oleh Nieza Nahar.

Diterbitkan oleh Creative Skills Solution dan diarahkan oleh pengarah terkenal Emi Suffian, drama bersiri 28 episod ini menampilkan barisan pelakon ternama tanah air iaitu Redza Rosli, Amyra Rosli, Kartina Aziz, Rita Rudaini, Mia Nasir, Azlee Khairi, Halim Radzi dan ramai lagi.

Amyra Rosli memegang watak Intan Najiha atau lebih mesra disapa sebagai Jiha dibesarkan secara sederhana manakala Redza Rosli memegang watak Syed Munir yang dimewahkan dengan harta.

Setelah kehilangan ibu bapanya, Jiha membawa diri ke Kuala Lumpur untuk berdikari dan membuka bisnes menjual lilin, ‘Jiha’s Scent’, secara kecil-kecilan di pusat membeli belah.

Berbeza pula dengan kehidupan Munir yang telah dilahirkan dengan kemewahan dan menjadi harapan meneruskan legasi keluarga oleh ibunya Syarifah Aminah (Kartina Aziz). Segala perkara tentang Munir ingin diuruskan oleh ibunya, termasuk soal jodoh untuk berkahwin dengan calon menantunya, Emilia (Mia Nasir).

Perasaan cinta antara Munir dan Jiha mula berkembang, Munir telah memilih Jiha untuk dijadikan isteri walaupun perkahwinan mereka tidak direstui keluarga.

Namun, kehidupan sebagai suami isteri tidak seperti dijangka apabila Munir terlibat dalam kemalangan dan keadaan mental Jiha tidak stabil kerana ditimpa tuduhan selepas kehilangan Munir dan anaknya.

Jangan lupa saksikan Kerasnya Takdir menerusi slot Akasia TV3 bermula 22 April 2023, setiap hari pada pukul 7.00 malam dan strim secara langsung di www.tonton.com.my.

Untuk dapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, sila layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia serta Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat!

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my.

Nurul Hana