Gara-Gara Asap Masakan Masuk Bilik, Lelaki Bertindak Belasah Adik Perempuan Sehingga Patah Gigi

Seorang lelaki bertindak membelasah adik perempuannya sehingga cedera gara-gara asap masakan masuk ke dalam biliknya.

Insiden yang berlaku di Kajang pada Khamis terjadi kira-kira pada pukul 11 malam ketika mangsa yang berumur 24 tahun sedang memasak di dapur.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, bau dan wap masakan memasuki bilik tidur suspek, 31, yang bersebelahan dengan dapur rumah.

“Suspek keluar dari bilik dan menunjukkan protes dengan cara menutup pintu secara kuat sambil memaki hamun adik perempuannya.

“Suspek juga bertindak menarik rambut, menumbuk dan menapar bahagian muka mangsa sehingga cedera serta patah gigi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid, mangsa telah mendapatkan rawatan hospital sebelum tampil membuat laporan polis.

Susulan laporan dibuat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan suspek di rumah mereka, pada 1.30 pagi tadi.

“Suspek direman selama empat hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Katanya lagi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Oleh itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor K Suresh di talian 017-4333795 bagi membantu siasatan.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari