“Gementar Depan Kamera Sampai Menggigil…” – Yatie Kitchen Kongsi Pengalaman Pertama Kali Muncul Di Kaca Televisyen

Pempengaruh media sosial, Norhayati Zainol Abidin, 43, atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Yatie menerusi akaun @yatiekitchen berkongsi pengalamannya muncul buat pertama kali di kaca televisyen.

Menurut Kak Yatie, pada mulanya dia agak gementar untuk membuat kemunculan sebagai juri masakan di kaca televisyen kerana sebelum ini dia hanya perlu berkongsi video masakan menerusi platform Instagram sahaja.

“Mula-mula tak expose diri sebab kalau masak, saya hanya bagi video masakan saya.

“Tapi bila dah dengan Adabi, saya kena expose diri saya sebab itu permintaan dia. Jadi saya kena ke depankan diri saya,” katanya.

Perkongsian itu dibuat dalam sesi sidang media secara maya program berjudul Pandai Masak Ke Tu? yang akan disiarkan sepanjang Ramadan ini pada setiap hari Ahad, jam 7.30 malam di TV9.

Kak Yatie sempat berkongsi rasa gugup ketika sesi penggambaran program terbabit bermula.

“Saya gementar depan kamera sampai menggigil, lama-lama saya dah biasa,” jelasnya.

Program masakan ini juga akan menampilkan beberapa penampilan khas seperti Amy Mastura sebagai hos dan Chef Ismail sebagai juri.

Fatin Nurain