Categories: HiburanTrending

Hasilkan Single OST Khilaf Asmara TV3, ‘Melepaskanmu’ Jadi Karya Terakhir Amylea Sebelum….

Penyanyi Amylea atau nama sebenarnya Amylea Azizan, 36, muncul dengan single Melepaskanmu yang juga ciptaan penuh olehnya dan bakal mengisi drama Khilaf Asmara sebagai lagu tema.

Menerusi lagu ini, Amylea sekali lagi bekerjasama dengan syarikat produksi Radius One yang juga penerbit bagi drama Khilaf Asmara yang bakal ditayangkan di TV3 pada Ramadan ini.

“Untuk drama Khilaf Asmara kita ada dua lagu baharu. Lagu pertama adalah Melepaskanmu yang dinyanyikan oleh saya dan satu lagi tajuknya Khilaf Asmara yang dinyanyikan oleh Shila Amzah. Selain itu, ada juga lagu lain yang dinyanyikan oleh beberapa artis lain.

“Saya selesa dengan Radius One kerana semuanya dipantau sangat teliti samaada dari segi ‘sound’, ‘visual’ dan ‘scriptwriting’. Sebelum kita membuat rakaman ia sudah dibincangkan sejak berbulan-bulan sebelum dan itu membuatkan saya rasa sangat dihargai.

“Sebab itu saya suka dan selesa bersama mereka. Saya suka tekankan yang saya bukan baharu dalam pembuatan lagu untuk drama. Saya sudah mula sejak 2007 lagi. Saya bukan komposer dan penyanyi baharu, ini adalah tahun ke-18 saya dalam industri. Jadi sudah tentu saya ingin pergi lebih jauh,” katanya.

Berkongsi mengenai single itu, Amylea berkata lagu Melepaskanmu sepatutnta dilancarkan lebih awal pada Mac tahun lalu.

“Lagu ini dijadualkan keluar pada Mac tahun lalu tetapi terpaksa ditangguhkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah industri kreatif mula dibenarkan beroperasi semula. Penulisan dan rakaman lagu ini pada tahun lepas dan semuanya sudah ‘backdated’ sebenarnya jadi lagu ini kita boleh katakan sebagai ‘flashback’ atau ‘throwback’ apa yang saya tulis berkenaan perasaan saya tahun lepas.

“Sebab tahun ini saya sudah sediakan lagu lain yang berbeza ‘mood’ dan ‘vibe’. Saya mohon maaf kepada peminat dan pendengar yang sukakan lagu daripada saya kerana perlu menunggu terlalu lama. Banyak sangat dugaan tahun lepas sampai tak boleh nak keluarkan lagu.

“Jadi apa yang boleh dikatakan, lagu Melepaskanmu adalah ‘opening act’ untuk beberapa lagi lagu yang saya tak sabar nak keluarkan. Jadi saya harap media dan juga penggemar muzik Malaysia boleh memberikan sokongan kepada saya selepas lagu Kendati tahun lepas,” katanya.

Dalam masa sama, Amyle berkata lagu Melepaskanmu menjadi karya terakhir sebelum dia berehat seketika dari menghasilkan lagu berentak balada.

“Lagu ini berentak balada sama dengan jalan cerita drama ini. Mungkin selepas ini saya akan berehat sekejap dengan genre balada. Bukan saya tak mahu untuk buat genre lain tetapi perlu ikut kehendak kepada kesesuaian drama itu, jadi ia masih lagi berentak balada dan saya harap orang boleh terimanya.

“Cerita berkenaan lagu ini sebenarnya sangat menarik kerana ia menceritakan berkenaan kekuatan, iaitu kekuatan selepas ditinggalkan dan kekuatan untuk melepaskan seseorang itu. Lagu Melepaskanmu ini lebih kepada rasa reda. Saya tahu ramai orang akan cakap ini adalah daripada kisah sebenar saya.

“Kadang-kadang cerita daripada kita ini adalah lebih kurang sama. Ada dugaan yang lebih kurang cuma ‘details’ sahaja yang berbeza. Jadi cerita dalam drama ini juga adalah refleksi daripada cerita yang terjadi dalam kalangan masyarakat yang mana skripnya diolah sebegitu. Kalau sedikit sebanyak ada menyentuh pribadi seseorang termasuk diri saya sendiri itu adalah kebetulan. Mungkin sebagai seorang penulis saya dapat ungkapkan berkenaan diri saya dan akan lebih memberi kesan dihati pendengar,” katanya.

Bercerita mengenai video muzik (MV) lagu Melepaskanmu, Amylea berkata ia memaparkan kesedihan yang ditanggung tatkala perlu melepaskan seseorang.

“Selalunya dalam MV orang nak kelihatan cantik. Tapi dalam MV ini dia sebaliknya. Walaupun di luar dia kelihatan bergaul dan berkawan dengan orang, tapi kesedihan disimpan dalam diri lain. MV ini lebih kepada lakonan yang memaparkan kesedihan, tertekan dan tidak bermaya. Pendek kata, MV ini memang paparkan kesedihan,” katanya.

Padin