Himpun Momen Hidup & Inspirasi, Zamaera Tampil Dengan Single ‘DULU’

Penyanyi dan penulis lirik, Zamaera kembali merencana kariernya pada tahun ini lewat single terbaharu yang diberi judul ‘DULU’.

Zamaera atau nama sebenarnya Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafilen sebelum ini tampil dengan single sulungnya, Helly Kelly.

Penyanyi yang energetik, kreatif dan mempunyai imej tersendiri ini menceritakan ‘DULU’ merupakan karyanya yang menghimpunkan momen dan pengalaman karier seninya.

Ia dihasilkan oleh Zamaera seperti air mengalir dan setiap bait perkataan yang ditulis mencerminkan perasaannya.

“Dulu sangat istimewa buat saya. Ia mengisi momen dan pengalaman yang dilalui sebagai artis pada tahun 2012 dahulu sehingga sekarang. Semuanya dituang dengan jelas melalui lirik yang ditulis.

“Ramai yang tidak tahu saya seorang penyanyi sebelum menjadi rapper pada 2017.

“Saya juga menyelusuri bakat seawal usia 9 tahun dan telah menang sebuah pertandingan bercerita yang merupakan permulaan perjalanan hidup saya sebagai penulis lirik. Itu membuat saya bersyukur kerana pernah melewati hal-hal terbaik sedemikian,” katanya.

Menurut Zamaera, ‘DULU’ ditulis pada tahun 2020 selepas dirinya berkenalan dengan seorang penerbit berbakat besar, Wolfy, anak kelahiran Malaysia yang menetap di Australia.

Kini setelah ia siap untuk dipasar dan diperdengarkan, Dulu juga mahu divisualkan dalam sebuah jalan cerita di klip videonya.

Klip video Dulu dijadualkan bertemu peminat buat pertama kali pada 26 Mei ini, satu minggu selepas single istimewa ini dilancarkan di semua platform. Klip video ini dihasilkan oleh sahabat zaman persekolahannya, Fitri Ayub.

“Saya juga akan berinteraksi dengan peminat menerusi Instagram secara langsung semasa klip video ini dilancarkan dan tidak sabar bertemu semua,” ujarnya penuh teruja.

Lebih membanggakan, ‘DULU’ mendapat sokongan daripada pelbagai pihak seperti Limkokwing University of Creative Technology (LUCT), penaja lokasi utama penggambaran klip video serta pereka terkenal, Syomirizwa Gupta, Alia Bastamam dan Shaleen Cheah untuk busana-busana yang digayakan dalam single tersebut.

Mula karier seni pada 2012, Zamaera kini bernaung di bawah label Kartel milik Joe Flizzow bersama nama besar dunia hip-hop lainnya seperti SonaOne, Altimet, Ila Damia dan DJ Cza.

Selain ‘DULU’ yang akan menambah kemas portfolio kariernya sebagai anak seni, Zamaera juga sudah terkenal lewat hitnya yang lain termasuk Get Munni, Jangan Salah Sangka dan Still Callin.

Karier seninya diiktiraf sehingga ke dunia antarabangsa sekaligus memberinya pengalaman menjadi wakil Malaysia yang mengisi pentas Asean-Korean Music Festival Round 2020.

Atiqah Johari