“Hubungan Kami Baik, Perbincangan Dah Ada Untuk Mendirikan Rumah Tangga” – Syafiq Kyle

Hubungan percintaan antara pasangan selebriti popular, Syafiq Kyle dan Mimi Lana melalui pelbagai rintangan yang boleh diibaratkan seperti ‘roller coaster’.

Pernah berpisah pada tahun 2020, kisah cinta pasangan sejoli yang dipercayai telah disulam sejak enam tahun lalu tetap utuh apabila hubungan mereka bertaut semula.

Memetik laporan Berita Harian, Syafiq seakan tidak menolak dakwaan mereka bakal mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat.

Namun, Syafiq atau nama penuhnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak mengakui telah merancang ke arah perkahwinan namun masih tidak mempunyai tarikh untuk hari bahagia mereka.

“Siapa yang tidak impikan kehidupan berkeluarga? Saya sudah bersedia menjadi ketua keluarga, khalidah dan memiliki zuriat sendiri.

“Hubungan kami baik. Jadi, sudah semestinya kami ada perancangan mendirikan rumah tangga.

“Cuma kami tidak berani hendak cakap bila. Sama ada dalam tempoh terdekat ini atau lambat lagi. Perbincangan masih dibuat, tarikh pun belum ada lagi,” ujarnya.

Pelakon drama Nur itu turut memohon doa daripada semua pihak agar mendoakan segala urusan termasuk soal jodoh berjalan dengan lancar.

“Doakan semoga urusan kerja saya dipermudahkan. Apabila semuanya berjalan lancar, senanglah untuk kami mengatur perancangan hari bahagia,” katanya optimis.

Sumber & Kredit Foto: Berita Harian

Aqilah Paharuzi