Hun Haqeem Terkejut David Teo Bongkar Kes Saman Langgar Kontrak MIG… Akui Tak Simpan Dendam

Pelakon, Hun Haqeem mengakui terkejut apabila penerbit produksi terkenal, David Teo mendedahkan kes saman berjumlah RM613,960 bersama bekas pengurusnya, Metrowealth International Group (MIG).

Memetik laporan mStar, aktor drama rantaian Kampung People ini berkata dia tidak menyangka David menghebohkan isu berkenaan memandangkan dia memilih untuk mendiamkan diri sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung.

“Saya terkejut juga kerana kes ini dah berjalan sejak 2020. Semasa perbicaraan pertama dan keputusan memihak kepada saya, saya pun tak ada buat apa-apa kenyataan sebab ia berbalik kepada matlamat saya untuk menjaga nama baik industri.

“Bila tiba-tiba keluar, saya tertanya-tanya kenapa ia muncul semula,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hun bagaimanapun mahu terus bersikap profesional dan enggan bermasam muka bersama David dalam dunia industri hiburan Malaysia yang dianggap kecil ini.

“Semasa di mahkamah, kalau David ada saya salam. Saya okay sahaja dengan dia. Tak simpan dendam sebab dunia ini kecil sahaja.

“Saya tak mahu buat benda tak baik kepada orang kerana kita akan berjumpa semula.

“Kita semua nak selesaikan benda ini dengan baik. Apa sahaja perintah mahkamah, saya turutkan. Saya tak pernah mengelak,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Hun berkata isu saman in memberi kesan kepada emosinya yang berlaku ketika dunia dilanda pandemik COVID-19.

“Sebelum ini, saya pernah kongsikan mengenai kesihatan mental yang terganggu. Sewaktu PKP, kita tak boleh buat apa-apa dan pada masa sama disaman.

“Sedikit sebanyak rasa terkilan sebab saya cuma nak mengharumkan nama industri sebab ada banyak potensi. Kita ada banyak platform dan sebagainya.

“Tapi, hujung-hujung, kita menikam sesama sendiri sedangkan boleh bantu naikkan satu sama lain,” katanya.

Terdahulu, penerbit terkemuka David Teo mendedahkan Hun diarah untuk membayar ganti rugi berjumlah lebih RM600,000 kerana melanggar kontrak dimeterai bersama MIG.

Pada awalnya Mahkamah Shah Alam memutuskan kes saman langgar kontrak ini selesai tanpa ada pihak menang atau kalah, namun Davis bertegas mengambil tindakan sekaligus membuat rayuan yang akhirnya berpihak kepadanya.

Hun melanggar kontrak lima tahun dimeterai sejak 2021 yang kini masih berbaki dua tahun lagi saat namanya meledak naik dalam industri seni.

Artikel Berkaitan: Akibat Langgar Kontrak, Hun Haqeem Diperintah Bayar Ganti Rugi Berjumlah RM613,960 Kepada MIG… Dilabel ‘Lupa Diri’ – “Dia Bagai Kacang Lupakan Kulit”

Sumber: mStar

Aqilah Paharuzi