Idris Khan Nafi Sudah Berkahwin, Mahu Fokus Pada Kerjaya Dahulu – “Saya Bukan Suami Orang, Tapi…”

Pelakon Idris Khan, 34, menafikan spekulasi yang menyatakan dia kini sudah mendirikan rumah tangga seperti yang bertebaran di media sosial.

Memetik laporan Berita Harian, Idris atau nama sebenarnya Muhammad Idris Abdul Ghaffar Iskandar Khan memberitahu dia masih solo dan kini hanya fokus pada kerjaya sahaja.

“Bila saya berkahwin? Itu hanyalah khabar angin. Saya bukan suami orang. Tapi kalau ada calon yang sesuai, mengapa tidak.

“Namun, apa sahaja boleh berlaku, kita tidak tahu. Kita lihat sahaja nanti. Saya pun tidak mencari calon buat masa ini, saya hanya seronok dengan kehidupan dan fokus kepada kerja.

“Kalau ada sinar (berkahwin), saya akan beritahu, buat masa sekarang sinar itu belum nampak lagi,” katanya.

Disoal mengenai hubungannya bersama wanita asal Maghribi, Idris menjelaskan dia masih berhubung rapat namun belum mempunyai perancangan ke arah yang lebih serius.

“Kami masih berkawan tetapi masing-masing fokus dengan karier. Kami masih rapat, tapi belum ke tahap itu (berkahwin).

“Saya lebih fokus kepada karier dan terlalu banyak perkara yang saya usahakan. Jadi, belum masanya saya berkahwin,” jelasnya.

Tambah pelakon Tuan Danial ini, dia mahukan wanita yang bukan daripada industri seni sekiranya jodohnya tiba kelak.

“Jika tidak, asyik borak perkara sama… Ia membosankan. Untuk jangka masa panjang, kita mahu seseorang yang bergiat dalam industri berbeza, barulah seronok,” kongsi Idris.

Dalam pada itu, Idris yang terpalit dengan isu pelanggaran kontrak perjanjian drama Sekali Lagi Cinta Kembali memaklumkan hubungan dia dan penerbit Datuk A Aida dalam keadaan baik.

“Kami okay sahaja… Tiada masalah. Kalau ada rezeki bekerjasama lagi, saya baik-baik sahaja. Aida ada tawarkan saya berlakon, namun, disebabkan tarikh tidak sesuai, saya tidak dapat penuhi,” katanya.

Terdahulu, A Aida dan Idris Khan bersetuju untuk selesaikan kes saman yang difailkan oleh penerbit tersebut di luar mahkamah selepas A Aida menarik balik saman terhadap Idris ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, November tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Langgar Kontrak, A Aida & Idris Khan Setuju Selesai Kes Luar Mahkamah

Sumber: Berita Harian

Khairil Khusyairi