Iera Milpan Nekad Bertudung Selepas Terkesan Dengar Ceramah Tentang Aurat, Mohon Doa Agar Istiqamah

Penyanyi baharu, Iera Milpan berkongsi berita gembira apabila memaklumkan dia kini bertudung sejak 1 Ramadan lalu.

Menurut laporan Harian Metro, Iera atau nama lengkapnya Syahirah Milpan berkata, dia terbuka hati untuk berhijab selepas mendengar ceramah agama mengenai aurat.

“Selepas selesai solat Tarawih, saya nak terus balik rumah tapi kakak suruh tunggu kerana ada ustazah beri ceramah agama.

“Saya terus duduk dan dengar ceramah itu dan waktu ustazah itu beri ceramah mengenai aurat, dia terus pandang muka saya.

“Saya berasa terkesan kerana ceramah itu sangat mendalam dan menusuk ke hati saya,” katanya.

Akui gusar hati berbolak-balik, penyanyi yang mula mencipta fenomena dengan lagu hits Retak Hatiku itu berharap agar terus istiqamah.

Malah, mengakui lebih tenang selepas penghijrahannya itu.

“Saya berdoa semoga terus kekal istiqamah sebab saya risau juga jika hati berbolak-balik nanti.

“Pada masa sama, saya juga tidak ada masalah untuk menggayakan tudung mengikut fesyen kerana memang sudah ada beli tudung sebelum ini,” katanya.

Tambah anak keempat daripada lima adik beradik itu, ibunya juga turut memberi sokongan dan gembira dengan perubahan dirinya itu.

“Emak selalu beri sokongan untuk saya tampil bertudung. Setiap kali saya nak keluar rumah untuk memenuhi undangan persembahan, emak akan mengingatkan supaya saya pakai tudung.

“Saya juga dapat banyak komen positif daripada pengikut di TikTok termasuk yang menghantar ‘Direct Message’ yang menyukai dan memuji imej baru ini,” katanya.

Untuk info, Iera mula mendapat perhatian apabila lagu Retak Hatiku yang dicipta oleh Zai Hamzah dan Oja serta lirik hasil nukilan Achoi Floor 88 itu meraih 2.6 juta tontonan selepas dua minggu dilancarkan dan berada di kedudukan #1 carta trending YouTube.

ARTIKEL BERKAITAN: Idolakan Ziana Zain & Minat Genre 90-an… Jom Kenali Penyanyi Lagu Retak Hatiku, Iera Milpan

ARTIKEL BERKAITAN:  Retak Hatiku Hancur Semua… 2.6 Juta Views Dalam Masa 2 Minggu, Trending #1 Di YouTube! Iera Milpan Teruja Single Pertama Diterima Ramai

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi