Individu Ambil Kesempatan, Muat Naik Gambar B*gel Di Facebook Guna Nama Ning Baizura

Penyanyi dan pelakon, Ning Baizura tampil mendedahkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan namanya untuk sebuah akaun Facebook palsu dan memuat naik gambar separuh bogel sehingga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminatnya.

Menurut pelantun lagu Awan Yang Terpilu itu, beliau terkejut dengan berita tersebut kerana ada yang menyangka dirinya terlibat dalam perniagaan menjual pakaian dalam wanita.

“Minggu lepas ketika saya sibuk membuat latihan MiFFest tiba-tiba ada orang hantar gambar tersebut.

“Saya sebetulnya tidak ambil pusing kerana ketika itu banyak perkara lain perlu saya lakukan seperti menghafal lirik dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Ning juga ada berkongsi hantaran di laman Instagram miliknya memaklumkan mengenai hal berkenaan.

Jelasnya, dia tidak pernah mempunyai akaun rasmi ataupun kelab peminat di Facebook, bahkan peminat setianya juga sedia maklum mengenai perkara itu.

Meskipun begitu, Ning meminta peminat dan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan kewujudan akaun ‘fake’ tersebut agar tidak menjadi mangsa penipuan.

“Peminat yang lama mengikuti perkembangan saya, mereka tahu saya tiada sebarang akaun rasmi atau kelab peminat di Facebook.

“Segala komunikasi dilakukan di Instagram sama ada bersama keluarga, rakan-rakan atau peminat,”jelasnya.

Enggan memanjangkan isu berkenaan, Ning memaklumkan dia tidak akan melayan dan membuang masa pada perkara remeh walaupun individu tersebut telah menggunakan akaun ‘fake’ itu hampir satu tahun lamanya.

 

Sumber: Mstar

Salma Syahbuddin