’Ini Perkahwinan ‘Pertama’ Buat Saya’- Elly Mazlein Bakal Tinggalkan Status Ibu Tunggal

“ Perkahwinan kali ini adalah yang ‘pertama’ buat saya,” kata pelakon Elly Mazlein mengesahkan bakal menamatkan status ibu tunggal tahun depan.

Kata Elly ketika ditemui Xtra, dia berhasrat mengadakan perkahwinan dalam suasana meriah memandangkan tidak berpeluang meraikan ketika perkahwinan terdahulu.

“ Saya tidak dapat realisasikan kerana arwah mama baru sahaja meninggal ketika itu. Saya nak raikan kawan-kawan rapat pada hari bersejarah nanti,” katanya.

Sementara itu, pengacara Bintang Bersama Bintang 2019 ini bersyukur diberi peluang bertemu dengan jejaka yang boleh menerima dia seadanya.

“ Tahun depan, Insha Allah. Saya bersyukur diberi peluang merasai nikmat dicintai oleh jejaka yang menerima saya dan anak seadanya. Boleh dikatakan saya wanita paling bahagia saat ini.

“ Butiran lanjut saya belum boleh kongsi buat masa ini. Bagaimanapun, saya akan kongsi tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” kata Elly memberitahu bakal suaminya berusia lewat 20-an.

Elly sebelum ini pernah berkahwin dengan pengarah Azmi Hatta pada 9 November 2014 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Sara Safhia Azmi, 2, namun mereka bercerai pada 15 Oktober 2015.

SGMS Faida